Malaysia Airlines bersaing dengan Bank of America, intip peluang jadi penaja Chelsea FC?

Oleh WAN SITI AMINAH

Syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines kini sedang mengintai peluang untuk menjadi penaja utama kelab bola sepak gergasi dunia iaitu Chelsea FC.

Perkara tersebut didedahkan oleh seorang pemerhati bola sepak yang berpangkalan di Poland iaitu Łukasz Bączek menerusi satu hantaran tular di laman X, baru-baru ini.

Sekiranya syarikat penerbangan berkenaan berjaya menjadi penaja skuad The Blues, sudah tentunya pencapaian itu sekaligus meletakkan nama Malaysia di mata dunia.

Menurut Bączek, Malaysia Airlines bagaimanapun tidak melalui jalan mudah kerana perlu bersaing dengan Riyadh Air iaitu syarikat penerbangan daripada Saudi Arabia.

Chelsea FC juga dikatakan turut mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat perbankan gergasi dunia iaitu Bank of America untuk menjadi penaja utama mereka.

Difahamkan, Riyadh Air berada di dalam senarai teratas selaku calon pilihan penaja dengan jangkaan tajaan bernilai 60 juta euro setahun (sekitar RM 307,289,001.42).

Walau bagaimanapun, kegagalan Chelsea melayakkan diri dalam kejohanan Eropah terutamanya UEFA Champions League (UCL) telah menyukarkan rundingan tersebut.

Prestasi Chelsea FC yang tidak memberansangkan dipercayai telah menjadi punca pengikatan kontrak kelab berkenaan dengan Riyadh Air dianggap hampir mustahil.

Situasi ini membuka peluang besar buat Malaysia Airlines ekoran kerjasama bersama Oman Air selaku syarikat penerbangan rasmi Chelsea FC turut ditamatkan bulan lalu.

Keputusan dibuat oleh pengurusan tertinggi baharu syarikat penerbangan itu tanpa dipengaruhi dengan rundingan Chelsea FC bersama Riyadh Air dan Malaysia Airlines.

Bayangkan, logo Malaysia Airlines bersama nama negara akan terpampang di kaca televisyen setiap kali skuad itu beraksi jika syarikat penerbangan berkenaan menjadi penaja utama.

Baca juga: Laksana inisiatif dan caruman buat pemandu teksi, GTSM luah rasa terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan