Muka Ruhainies dikaburkan dalam iklan puasa & raya, pertama kali tengok artis kena ‘banned’ secara halus macam ini

Oleh KIM SYAZIE

Selepas terpalit dengan kontroversi ditangkap khalwat dengan seorang pelakon lelaki popular, wajah Ruhainies kini disunting dan dikaburkan dalam iklan ucapan Ramadan satu jenama kecantikan di YouTube.

Menurut pemilik iklan tersebut, penggambaran iklan produk yang turut disertai adik kepada Risteena itu sebenarnya sudah dirakam lebih awal iaitu pada Disember tahun lalu.

Justeru bagi memastikan kontroversi membabitkan Ruhainies tidak menjejaskan tayangan video tersebut, wajahnya dikaburkan manakala dua lagi selebriti, Hisyam Hamid dan Wany Hasrita yang turut muncul dalam iklan itu tidak dikaburkan.

“Sempena bulan Ramadan Al Mubarak ini, kami dengan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf diatas segala kesulitan dan kekeliruan yang berlaku terutama hantaran kami yang membabitkan seorang artis terkenal tanah air.

“Penggambaran iklan produk ini menggabungkan tiga artis terkenal tanah air iaitu Wany Hasrita, Hisyam Hamid dan Ruhainies. Rakaman dibuat selepas penelitian rapi dilakukan pada Oktober 2023,” tulisnya di ruangan keterangan.

Pihak jenama itu juga berharap agar insiden dakwaan khalwat membabitkan Ruhainies baru-baru ini tidak memberi kesan kepada rakaman video yang sudah siap itu.

“Berhubung dakwaan ditangkap khalwat yang dihadapi oleh salah seorang pelakonnya, kami berharap ia tidak memberi kesan kepada tayangan iklan itu kerana rakaman itu sudah siap dirakamkan pada Disember 2023 dan seramai 100 krew produksi terbabit dalam menjayakan iklan ini.

“Kami tidak menyokong mana-mana pihak, kelakuan buruk atau kontroversi,” tulisnya.

Video berdurasi 10 saat itu turut dimuat turun dan dikongsikan oleh pengguna media sosial di pelbagai platform. Nama Ruhainies bagaimanapun dikekalkan dalam video itu.

Baca juga: Benarkan kenderaan asing isi RON95, pemilik stesen minyak mengaku salah