Penyanyi anjur majlis berbuka buat peminat dikecam, kenakan bayaran RM60 sekepala

Oleh WAN SITI AMINAH

Rancangan seorang penyanyi tempatan untuk menganjurkan majlis berbuka puasa bersama peminat telah mengundang kritikan daripada pengguna media sosial.

Hal ini berpunca daripada tindakan bekas peserta program nyanyian Big Stage 2023 itu yang mahu mengenakan bayaran sebanyak RM60 kepada peminatnya sendiri.

Penyanyi berkenaan dituduh sengaja mengambil kesempatan ke atas peminat yang selama ini telah berusaha membantunya ‘naik’ di dalam industri hiburan tempatan.

Tampil menepis spekulasi, penyanyi yang dikenali sebagai Meer Nash itu menafikan tuduhan mengaut keuntungan melalui majlis dianjurkan bersama kelab peminatnya.

Jelas pemilik nama sebenar Muhammad Shahmeer Mohd Nazrul itu, majlis berbuka puasa berbayar tersebut terbuka buat peminat yang menyertainya secara sukarela.

Langsung tidak melibatkan sebarang paksaan, Meer Nash turut menyifatkan individu yang melemparkan tuduhan tersebut sebagai seseorang berhati busuk serta dengki.

“Selama penganjuran majlis bersama peminat, satu sen pun saya tidak pernah nak kaut untung. Peminat saya dapat (berhibur) dengan harga yang mereka bayar.

“Malah, perkara yang paling bernilai buat saya adalah meluangkan waktu bersama peminat. Tidak sangka dalam bulan puasa ada juga yang hati busuk, dengki fasal orang lain.

“Saya tidak pernah ambil pisau untuk paksa awak sertai majlis ini. Tengok komen macam orang yang kenal saya secara peribadi,” kata Meer Nash dalam satu hantaran di Instastory.

Dalam hantaran yang sama, penyanyi berusia 28 tahun itu sempat meluahkan rasa kesal apabila golongan selebriti sepertinya menjadi sasaran kecaman orang ramai.

Tidak mampu lagi menahan sabar, pelantun lagu Permata itu berpendapat bahawa dirinya hanya manusia yang mempunyai perasaan dan berhak mempertahankan diri.

“Saya tidak faham kenapa pembenci ini tidak berani dan hanya berselindung di sebalik akaun palsu. Sampai bila kami yang tidak kacau orang ini mahu berdiam diri dan terima sahaja segala cacian? 

“Kami juga ada perasaan dan saya bercakap untuk pertahankan diri.” Kata penyanyi yang mula meraih populariti menerusi rancangan realiti, I Can See Your Voice dengan gelaran ‘Oppa Malay’.

Baca juga: Gagal dapat sokongan, pelakon sanggup jual aset demi sambung belajar