Malaysia hari ini dikejutkan dengan laporan kejadian tragis membabitkan seorang ibu yang mengelar leher anak sebelum menghantar gambar mangsa kepada suaminya.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang maut dikelar ibu kandungnya sendiri di sebuah kawasan perumahan di Pasir Gudang, Johor itu baru berusia setahun enam bulan.
Suspek yang merupakan seorang wanita tempatan itu sempat menghantar gambar mangsa dalam keadaan berlumuran darah kepada suaminya di aplikasi WhatsApp.
Menurut salah seorang jiran yang enggan dikenali, insiden itu hanya mula disedarinya sekitar jam 1 tengah hari, semalam selepas mendengar jiran lain minta pertolongan.
Sudah lama mengenali suspek, jiran berkenaan mengakui bahawa suspek berusia 32 tahun itu merupakan seorang ibu yang baik dan ramah orangnya, lapor Harian Metro.
“Jiran saya ini seorang yang baik dan sering membawa anak tunggalnya berjalan di lorong perumahan kami pada waktu petang. Sewaktu sampai di depan rumah jiran (suspek), saya nampak sekujur tubuh kanak-kanak dan darah di ruang tamu.
“Manakala ibunya pula duduk bersila dan terdiam di hadapan tubuh kecil itu. Saya terperanjat sebelum memberitahu suami mengenai kejadian yang berlaku. Tidak lama kemudian, polis tiba dan uruskan kes tersebut.
“Saya memang trauma melihat tubuh kanak-kanak itu, masih lagi terbayang. Malam tadi pun tidak dapat tidur. Saya juga memiliki dua anak, berusia sembilan dan empat tahun. Mereka kerap bermain dengan anak mangsa yang dikelar itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu, Komisioner M Kumar selaku Ketua Polis Johor memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pada jam 1.30 tengah hari semalam.
Selain merampas sebilah pisau di tempat kejadian yang dipercayai digunakan bagi mengelar mangsa, tangkapan ke atas suspek juga dilakukan untuk siasatan lanjut.
Jelas Kumar, kes telah diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala permohonan reman terhadap suspek pula dibuat hari ini.
Kumar turut memberitahu bahawa mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik di Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat sementara motif kejadian dan punca kematian masih dalam siasatan.
Baca juga: Pegawai perubatan sewa kondo RM2,900, mengeluh gaji RM5K tak cukup sampai makan maggi hujung bulan