Selesa duduk di kaki lima jual kerepek depan bank, warga emas di Kelantan ini akui mampu raih RM15,000

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita warga emas di Kota Bharu, Kelantan lebih selesa duduk di kaki lima sebuah bank selepas berupaya memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM15,000 dari hasil menjual kerepek.

Wanita yang menjalankan aktiviti tersebut sejak tiga tahun lalu itu dilaporkan hanya berbekalkan kerepek untuk meraih simpati ramai.

Datang seawal jam 6 pagi dengan menunggang motosikal, Zaimah (bukan nama sebenar), 63, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa premis sanggup meninggalkan pekerjaan itu, lapor Harian Metro.

Akhbar itu melaporkan, pendapatan harian Zaimah tidak menentu iaitu antara RM200 hingga RM500 sehari namun jika bulan Ramadan, ia memberi kemewahan luar biasa buatnya serta pengemis lain kerana boleh mencecah RM800 sehari.

“Dulu saya kerja pengawal keselamatan dengan gaji lebih RM1,000 sebulan tapi sejak kebelakangan ini saya mengemis di kaki lima sebuah bank dan pendapatannya sangat luar biasa.

“Saya menunggang motosikal datang ke bank ini jam 6 pagi setiap hari dan menjelang tengah malam baru pulang ke rumah tidak jauh dari sini,” katanya yang memiliki tujuh anak, seperti dilapor.

Zaimah berkata, jika dulu dia agak selesa bersendirian mengemis di luar premis itu namun kebelakangan ini agak terancam dengan kehadiran pengemis warga Thailand yang dilihat lebih bijak menggunakan taktik lain.

Wanita itu berkata, pengemis warga Thai biasanya menggunakan bayi atau kanak-kanak sebagai umpan untuk meraih simpati orang ramai memberi sedekah.

“Sudah pasti mereka memperoleh lebih banyak wang sedekah kerana orang ramai lebih simpati walaupun langsung tidak tahu berbahasa Melayu,” katanya 

Lapor akhbar itu lagi, bagi seorang peniaga kedai makan yang ingin dikenali sebagai Mariana, 36, sepanjang dia berniaga di Dataran Muhammadi, kelibat pengemis mundar mandir di kawasan itu sudah menjadi kebiasaan.

Dia berkata, rumah sewa sekitar kawasan itu juga sudah dimonopoli penyewa warga Thai yang terdiri daripada pengemis malah ada dalam kalangan mereka bertindak melampau dengan menawarkan bilik untuk disewa.

“Baru-baru ini saya mencari rumah sewa sekitar pusat bandar dan alangkah terkejutnya apabila ditawarkan bilik untuk disewa oleh penyewa rumah berbangsa Thailand dan kebanyakan mereka adalah pengemis.

“Selain pasar raya dan kaki lima bank, pengemis turut membanjiri perkarangan Masjid Muhammadi, di sini dan setiap kali selepas solat jemaah lima waktu atau Solat Jumaat, mereka akan berkerumun di pintu pagar masjid dengan bekas duit di tangan sambil meminta sedekah.

“Keadaan akan semakin meriah pada Ramadan dan menjelang Syawal malah ada yang sanggup tidur di tepi jalan sekitar kawasan ini kerana ramai yang memberi sedekah,” katanya.

Baca juga: Sayuran selalu layu, wanita kongsi tip mak mentua, dalam masa 3 jam sahaja jadi segar semula