Isu peruntukan Ahli Parlimen masih belum selesai sehingga kini apabila pihak pembangkang meminta ia ditangguhkan susulan terlibat dengan urusan lain.
Hal tersebut dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof apabila ada yang mempersoal isu peruntukan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang telah meminta perbincangan berkaitan isu itu ditangguhkan kepada minggu hadapan.
Menurut Bernama, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu memaklumkan perbincangan tersebut sepatutnya berlaku Selasa lepas.
“Sepatunya Selasa lepas, semua wakil parti iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas), Datuk Hamzah dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Bersatu), tapi mereka minta tangguh kerana Takiyyudin ada urusan penting di Kota Bharu.
“Jadi mungkin minggu depanlah, (tarikh) belum ada lagi sebab tunggu mereka tetapkan. Saya sebelum ini memang dah tetapkan Selasa lepas,” katanya seperti dipetik Bernama.
Tambah Fadillah, perbincangan tersebut akan memperincikan permohonan pihak pembangkang kepada kerajaan.
Ia termasuklah sebarang bentuk kerjasama yang boleh terjalin antara kedua-dua pihak.
“(Selepas itu) Barulah saya akan bentangkan kepada kerajaan untuk dibincangkan, kemudian barulah berlaku perundingan,” katanya.
Nafi dakwaan MP Muar
Pada masa sama Fadillah menafikan dakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengeluarkany kenyataan kawasannya tidak menerima sebarang peruntukan.
“Peruntukan kepadanya sebagai ahli Parlimen belum ada tetapi peruntukan di kawasan Parlimen ada.
“Dia (Syed Saddiq) baru jumpa saya dua kali… (Namun) Saya nak bincang dengan ketua pembangkang (Hamzah) dahulu,” katanya.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu turut mendakwa, beliau sudah tiga kali berunding berkaitan perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri.
Bagi menjawab soalan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis berkata lebih RM300 juta disalurkan menerusi pelaksanaan puluhan projek di Parlimen Muar.