Jadi perhatian lepas ‘viral’, Aizat Saha dedah pernah terima tawaran RM500k jadi ‘anak ikan’

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah menjadi lumrah, apabila nama mula dikenali maka ramailah yang mencuba nasib untuk mendekati.

Populariti itu tidak hanya datang dalam bentuk kesenangan namun ada juga ‘bala’ yang menyinggah sama.

Buat pempengaruh media sosial yang terkenal dengan video point of view (sudut pandangan seseorang), Aizat Saha mendedahkan satu cerita tidak senang didengari.

Menurut OH! Bulan, bekas pramugara itu memaklumkan dia pernah ditawar sebanyak RM500k daripada seorang wanita untuk menjadi anak ikan.

Tawaran tersebut datang selepas namanya mular tular di platform TikTok malah dia turut menerima mesej nakal daripada individu berlainan.

“Tak dinafikan, saya ada terima mesej nakal tetapi saya tidaklah layan.

“Ada sekali itu saya dapat DM dia cakap, ‘Saya sugar mommy lebih kurang macam itu, nak bagi RM500,000. Tolong balas DM saya’.

“Tetapi saya tak adalah balas DM tersebut sebab saya bukannya hidup untuk duit dengan cara yang macam itu,” katanya seperti dipetik Oh! Bulan.

Tolak tawaran tak berfaedah

Tambahnya, dia tidak akan menerima tawaran dalam bentuk itu kerana ia tidak menjamin masa hadapannya.

“Bila saya dapat offer itu, saya macam tergamam tetapi tak apalah saya tak akan terima.

“Pada saya, duit banyak mana sekalipun tetapi kalau datangnya dari tawaran sebegitu, ia tidak akan menjamin masa depan saya,” ujarnya.

Pada masa sama, dia turut rasa senang hati apabila menerima mesej peminat yang seronok melihat kandungan yang dimuat naiknya di sosial media.

Baca juga: Penyanyi anjur majlis berbuka buat peminat dikecam, kenakan bayaran RM60 sekepala