Wanita dari Maghribi terkejut kaum Hawa di Malaysia tak solat Jumaat, masjid pula dipenuhi kaum Adam sahaja

Oleh KIM SYAZIE

Baru-baru ini seorang wanita dari Maghribi meluahkan rasa terkejut melihat budaya di Malaysia yang berlainan dengan budaya di negaranya.

Wanita itu berkata, dia terkejut apabila mengetahui wanita di Malaysia tidak menunaikan solat Jumaat di masjid seperti yang dilakukan mereka di Maghribi.

Menerusi TikTok @thedigitalnomaddairy, wanita itu berkongsi bahawa di negaranya dan beberapa negara Islam lain yang pernah dikunjunginya, sudah menjadi kelaziman untuk wanita menunaikan solat Jumaat di masjid.

Namun dia terkejut apabila tiba di sebuah masjid di Malaysia, kelihatan ruangan solat hanya dipenuhi lelaki dan tiada seorang wanita pun yang berada di sana.

Apabila melihat papan tanda yang menunjukkan tempat mengambil wudhu bagi wanita, dia menganggap bahawa mungkin dia masih belum menjumpai ruangan solat wanita.

Dia kemudiannya meminta bantuan daripada orang ramai untuk menunjukkan ruangan solat tersebut. Akan tetapi, setibanya di ruangan itu, ia telah dipenuhi kaum lelaki. Perkara itu menyebabkan dia berasa amat malu.

Akhirnya, dia bertemu dengan beberapa pemuda yang pada sangkaan wanita itu akan membawanya ke ruangan solat wanita. Namun, ternyata dia tersilap apabila lokasi yang ditujukan adalah sama seperti yang dilihatnya sebelum ini.

“Bilik Solat Wanita Terlalu Kecil”

Berdasarkan kepada penjelasannya, dia kemudian dibawa ke satu bilik kecil berhampiran ruangan solat wanita.

Dia telah melalui bilik tersebut beberapa kali namun tidak terlintas yang ia adalah tempat solat wanita memandangkan ada lelaki yang sedang bersedia untuk solat di hadapan bilik itu.

Namun, dia berkata bilik tersebut adalah terlalu kecil dan boleh memuatkan sekitar lima orang sahaja. Merujuk kepada gambar yang dimuat naik olehnya, ia kelihatan seperti bilik persalinan dan tempat menyimpan telekung.

Sementara menunggu imam membacakan khutbah, wanita tersebut melakukan carian berkenaan solat Jumaat wanita di Malaysia. Barulah dia tahu bahawa para muslimah di Malaysia tidak menunaikan solat Jumaat, sebaliknya hanya diwajibkan menjalankan solat fardu Zohor.

Dia kemudian bertanya kepada orang ramai jika terdapat masjid di Kuala Lumpur yang mempunyai ruangan solat wanita bagi menunaikan solat Jumaat dan tarawih.

Beberapa individu menerangkan bahawa ruangan solat wanita akan dibuka kepada golongan lelaki sewaktu solat Jumaat. Ini kerana mereka akan terpaksa bersembahyang di luar masjid atau atas jalan tar dengan ruangan solat yang tidak mencukupi.

Pada masa yang sama, beberapa individu mencadangkan masjid lain di sekitar Lembah Klang yang menyediakan ruang bagi jemaah wanita menunaikan solat Jumaat.

Antara masjid tersebut adalah Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dan sebuah masjid di Putrajaya.

Jawapan Pejabat Mufti

Sementara itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas wanita berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab.

Riwayat Abu Daud (1067)

Kewajipan menunaikan solat Jumaat tidak dikenakan ke atas wanita kerana kesibukan menjaga anak serta menguruskan rumah yang akan menyebabkan masyaqqah (kepayahan) jika diwajibkan ke masjid pada waktu tertentu.

Akan tetapi, tidaklah sehingga wanita dilarang menghadiri solat Jumaat. 

Baca juga: Baru tahu senang sahaja nak kipas laju semula, hanya perlu beli ‘sparepart’ ini sahaja