“Terkejut beruk masuk rumah mak suami, bukan main bergaya tapi bilik macam sarang tikus”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menduga, insan yang dianggap pengotor mampu mengubah kehidupannya dengan suami dengan sekelip mata.

Bertemu jodoh dengan lelaki yang tidak memiliki harta, wanita itu baru mengenal realiti hidup selepas memutuskan untuk mendirikan rumah tangga di usia muda.

Ingin kisahnya dijadikan pengajaran, berikut perkongsian wanita yang mengubah pandangan terhadap insan kekurangan setelah dipinggirkan keluarga.

“Aku dan suami berkahwin di usia muda. Masa itu, aku baru selesai mengambil ujian STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia). Suami pula masih belajar di sebuah pusat kemahiran. Aku menikahi suami yang tiada harta. Waima sebuah motor pun atas ihsan bapa mertua memandangkan suami masih belajar.

“Kami menikah tanpa majlis. Yang tahu hanyalah ahli keluarga terdekat. Pihak suami pula hanya ibunya sahaja yang tahu anak lelakinya menikah di pejabat agama. Bapa mentua merupakan bekas tentera pencen. Jadi sejak kecil, suami dan adik-beradiknya telah diajar untuk menyelesaikan masalah sendiri.

“Kami bernikah pada 11 tahun lalu. Masa awal perkahwinan, hidup aku dan suami sangat susah. Menumpang di kediaman rakan suami yang sudah berkeluarga. Rumah pertama kami tumpang, aku dan suami tiada bilik. Hanya tidur di ruang tamu, di depan televisyen. Hal ini kerana suami masih belajar.

“Aku dan suami hanya jumpa di hujung minggu. Waktu itu, aku sudah hamilkan anak sulong kami. Aku tak lagi bekerja. Suami belajar dengan bantuan penuh daripada kerajaan. Hujung minggu pula dia bekerja separuh masa. Tolong bapa dan ibunya menoreh. Alhamdulillah, suami sedar aku tak selesa dengan batas aurat.

“Suami sedar dia tak mampu, tetapi aku nampak usahanya. Apabila kandungan sarat, suami mengenalkan aku kepada keluarga angkatnya. Suami pernahlah bercerita fasal keluarga mereka. Tetapi masa itu aku enggan ambil tahu. Janji dia ada ketika saat aku melahirkan anak kami. Suami kemudian mengajak aku berpindah ke rumah mak angkatnya.

“Kata suami, rumah mak angkat itu lebih selesa sebab ada satu bilik kosong. Aku setuju. Setibanya di rumah mak angkat suami, aku macam tak sangka. Kerana kediaman itu tak serupa rumah. Laman tak terurus, tempat buang sampah tepi rumah. Dengan longkang di belakang rumah berbau. Masuk rumahnya jangan cakaplah, semua bau ada.

“Belum pergi bilik air lagi. Dengan baju kotor berlonggok, lubang tandas sudah tak nampak putihnya. Dekat dapur, ulat sampah sampai terkeluar dari plastik. Tak tahulah berapa hari tidak dibuang. Memang mengucap panjang waktu itu. Tetapi mak dan bapa angkat suami baik orangnya. Ada anak yang sulong sebaya suami. 

“Anak mereka yang paling bongsu ketika itu berumur 10 tahun tak silap. Mereka juga ada dua orang anak dara. Si kakak baru bekerja sejurus tamat belajar di politeknik. Manakala si adik pula masih menuntut di kolej swasta. Sebaya aku. Dia masih belajar sedangkan aku tidak lama lagi akan bergelar seorang ibu. Rezeki aku, Alhamdulillah.

“Kalau tengoklah dari segi penampilan, memang tak sangka budak-budak itu pengotor. Bau haruman minyak wangi, rambut tersusun rapi kalau yang lelaki. Anak perempuan pula cantik, orangnya kecil molek. Siap berdandanlah bagai. Tetapi siapa sangka kalau masuk bilik, seperti sarang tikus. Baju bersih dan kotor berlonggok jadi satu.

“Aku pernahlah bergurau dengan suami, ‘cantik betul anak kepada mak angkat awak, kenapa tak kahwin dengan salah seorang. Senang, mak angkat terus jadi mak mertua’. Kataku sengaja menduga. Ternyata suamiku hanya ketawa. Mak angkat mengambil upah menjahit baju manakala bapa angkat pula seorang penganggur terhormat.

“Kerjanya hanya duduk menyembang di warung dan memancing udang jikalau datang musimnya. Mak angkat pula ada masalah semput yang sangat kronik, dia tak boleh buat kerja berat lagi. Hospital memang jadi rumah kedua. Kadang-kadang tengah potong baju siapkan dan tempahan, bila semput datang memang kesian. 

“Tetapi demi nak menyekolahkan anak-anak, terpaksalah gagahkan diri. Pernah sekali suami bagi dia duit belanja untuk beli lauk. Duit itu habis diberikan kepada anak untuk pergi kerja. Sebabnya belum siapkan baju pelanggan lagi. Anak-anak gadis mak angkat ini rajin kerja. Duit gaji habis buat isi minyak membayar segala bil.

“Separuh dari gaji itu diiserah kepada ayah mereka untuk membeli rokok, duit minyak motor dan mengeteh. Jika tak dibagi, bapa angkat akan mengamuk. Tetapi anak-anak tak pernah melawan. Perangai bapa angkat pula, dia tidak akan memukul anak atau mak angkat. Tetapi, dia cukup suka rosakkan barang dalam rumah.

“Malah pintu rumah itu akan ditolak kuat setiap kali supaya semua dalam rumah dengar bunyi hayunan. Pinggan, cawan jangan cakaplah, semuanya dicampak hingga pecah. Kelakar juga sampai nak makan dan minum kena bergilir sebab semua habis dipecahkan. Selama ini, ingatkan perempuan sahaja mangamuk campak barang. Lelaki pun ada rupanya.

“Kata mak angkat, ‘sudahlah enggan membantu membeli, menjahanamkan harta lagi ada’. Ini pertama kali jumpa lelaki seperti itu. Dugaan. Mengamuk dia boleh meleret hingga berhari-hari. Kalau ada anak-anak atau mak angkat bagi duit, baru hilang angin kus-kusnya.

“Akibat terlalu sibuk mencari duit dan kerap sakit, mak angkat akui dia tak mampu kemas rumah. Bila anak-anak tak gerak selepas disuruh pun tak boleh marah. Sebab automatik mak angkat akan semput. Melihat bapa yang tak membantu dalam urusan keluarga, anak-anak jadi tak ambil kisah tentang keadaan rumah. Nak bersepah lantak sana.

“Tentang makanan pula kadang-kadang banyak hari menu sama iaitu sambal tumis. Beras pon mampu beli 5kg sahaja. Kalau ada rezeki lebih beli telur. Walaupun hanya sambal tumis, tetapi masakan mak angkat memang power giler. Aku tak pernah rasa sambal tumis sesedap itu. Aku pun sempat belajar cara buat sambal tumis itu.

“Sekarang anak lelaki mak angkat mewarisi bakat itu sampai dapat buka restoran nasi lemak terkenal di daerah Johor. Mak angkat akui, dia orang miskin. Rumah tak terurus. Kalau nak tumpang rumah, dia izinkan. Tetapi terimalah seadanya keadaan keluarga mereka ketika itu. Alhamdulillah bila mak angkat bagi tumpang duduk.

“Memang tak dinafikan tak serupa bilik. Suami minta maaf,,kata dia belum mampu sediakan tempat yang selesa. Tetapi ketika keluarga mak angkat yang merupakan orang luar dapat terima aku, itulah nikmat terbesar yang aku rasakan. Kerana perkahwinan kami tidak disenangi keluarga aku sendiri pada waktu itu.

“Aku kagum dengan kesungguhan suami yang tak nak menyusahkan keluarganya mahupun dan keluarga aku. Mak angkat pun terkejut beruk bila suami datang bawa aku yang sarat ketika itu. Dengan sikap aku yang mudah bergaul membuatkan kami cepat mesra. Dari hari pertama berpindah, aku memang tak duduk diam. 

“Semua tempat aku kemas. Mak angkat pula risau tengok perut aku yang memboyot tetapi tak reti diam. Anak-anak mak angkat gelarkan aku majlis perbandaran. Kerana semua tempat aku bersihkan. Bila petang menjelma, keliling rumah aku sapu. Bakar sampah sampai daun daun kering keliling rumah bersih aku kerjakan.

“Mungkin juga pembawakan mengandung masa itu. Aku suka bau asap bakar daun kering. Itu yang bertambah rajin menyapu smpah. Tetapi aku selalu minta izin dengan mak angkat dahulu. Sampai satu tahap, aku tebang pokok mangga yang baru berusia 3 tahun pokok tu. Hidup betul-betul tepi ampaian baju. 

“Kerana pokok itu jadi punca kerengga banyak. Memang sakit mata. Rupa-rupanya sikap aku tak disenangi bapa angkat. Pernah juga tanya mak angkat, jika aku ada buat silap. Mak angkat cuma berkata dia bersyukur ada orang pembersih dalam rumah. Kehadiran aku memang banyak membantu mak angkat menguruskan rumah.

“Anak-anak mak angkat yang kecil sudah anggap aku seperti kakak. Mereka juga akan rasa serba salah kalau tinggalkan pinggan kotor di singki. Sebab mereka tahu tiada orang lain yang akan bersihkan selain aku. Tetapi bapa mentua akan sengaja masak lewat malam dan biarkan dapur bersepah.

“Bapa angkat tak berani bersuara sebab anak dan isteri dia sudah anggap aku macam ahli keluarga mereka. Pernah sekali bapa angkat merajuk. Sanggup dia pindah duduk bangsal. Aku pula yang sedih masa itu. Serba salah sangat. Aku suruh anak-anak pujuk ayah mereka tetapi tiada seorang pun yang mahu.

“Mak angkat pula minta aku biarkan suami dia. Nak lihat berapa lama tahan duduk di bangsal kayu itu. Perangai macam budak-budak. Aku sudah geli hati campur kesian. Akhirnya dia pindah semula ke dalam rumah setelah aku meminta suamiku pujuk. Bapa angkatku cair. Manja, nak kena pujuk baru nak masuk rumah.

“Alhamdulillah. Setelah hampir setahun aku tinggal dengan mereka, suami habis belajar dan kami tak berjauhan lagi. Betullah, orang kata bayi itu pengikat kasih sayang. Aku selamat melahirkan seorang anak lelaki beberapa minggu selepas itu. Orang paling gembira pada waktu itu bukanlah keluarga aku atau keluarga suami. 

“Tetapi keluarga angkat kami. Anak hanya ada dengan aku waktu menyusu sahaja. Selain dari waktu itu, semua mak angkat uruskan. Sayang benar mereka dengan anak kami. Mak angkat kata dia hilang semput bila tengok anak aku. Sayang betul dia. Memang anak aku ditatang bagai minyak yang penuh.

“Di saat keluarga sisihkan aku. Allah hadirkan orang luar, keluarga yang serba serbi kekurangan tetapi kaya dengan kasih sayang. Mereka melayani anakku seperti cucu mereka sendiri. Abah angkat yang sebelum ini tak suka aku sudah boleh terima kami. Mereka sudah boleh terima yang kebersihan itu adalah kewajipan manusia.

“Walaupun sekarang aku sudah tidak lagi duduk dengan mereka. Sedikit sebanyak mereka sedar kebersihan itu tanggungjawab semua orang. Rumah itu sudah tidak sekotor ketika mula-mula aku menjejakkan kaki ke dalamnya. Dulu keluarga aku suka perlekehkan orang pengotor, miskin. Tetapi apa yang terjadi pada aku. 

“Disaat aku dipinggirkan. Golongan yang tak dipandang inilah mengenggam tangan aku. Tiada orang di dunia ini nak jadi pengotor dan miskin. Itu ujian mereka. Ujian kita adalah diri kita sendiri yang merasakan sentiasa bagus.” Katanya menerusi satu perkongsian di laman luahan atas talian.

Baca juga: “Suami aku yang beria tak nak balik tapi mentua tuduh aku yang hasut, aku dah tawar hati