Fikir keluarga dulu, Hisyam Hamid tolak babak panas walaupun ditawar bayaran tinggi

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap pelakon ada pendirian masing-masing dalam watak yang ingin dibawa dalam satu drama atau filem.

Dikala ramai pelakon memilih adegan panas untuk mempelbagaikan watak, masih ada yang mahu menetapkan batas agar tidak merosakkan nama keluarga.

Buat pelakon kelahiran Singapura ini, Hisyam Hamid mengamalkan prinsip cerewet dalam pemilihan watak yang ditawarkan kepadanya lapor Kosmo! Online.

Tolak watak sensitif

Bagi lelaki berusia 39 tahun itu, dia sebolehnya tidak mahu terlibat dalam babak yang menyentuh isu sensitif dan keganasan seksual.

“Sejak dulu saya jaga portfolio kerjaya seni dan takkan terima watak sensitif malah secara peribadi memang tak akan buat.

“Paling saya elak ialah babak yang ada kaitan dengan rogol dan sebagainya.

“Saya rasa perkara sebegitu sangat sensitif dan rasa marah. Jadi, mengapa saya perlu libatkan diri dengan adegan macam itu?” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Tak mahu anak terkesan dengan watak

Tambahnya, anak-anak menjadi punca dia menolak watak tersebut kerana tidak memberi impak negatif buat keluarga.

“Saya ada keluarga dan anak-anak. Semua perkara yang nak buat perlu fikirkan mereka dahulu selain kena tunjuk contoh baik pada mereka.

“Sebab itu saya tak akan lakonkan babak lucah meskipun penggambarannya tidak menampakkan wajah saya.

“Setakat ini anak-anak tak pernah bertanya mengenai lakonan saya cuma saya perlu berhati-hati agar semuanya terkawal,” ujarnya.

Tolak walaupun bayaran tinggi

Tidak kiralah berapa bayaran diberikan untuk watak tersebut, Hisyam tetap akan menolak sambil menegaskan kepentingan jalan cerita sebelum memilih watak.

Baginya dia lebih rela berlakon dan pulang ke rumah untuk tidur dengan tenang daripada dibanjiri kecaman netizen.

Baca juga: Isteri mohon Safee Sali pulangkan 2 anak, rupanya dah lebih sebulan bawa lari