Isu stoking tertera kalimah Allah, Jakim beri amaran keras kepada KK Mart

Oleh MAISARAH AISYA

Tular beberapa hari ini mengenai penemuan sarung kaki tertera kalimah Allah yang dijual secara terang-terangan di kedai serbaneka KK Mart, mengundang kemarahan ramai.

Disebabkan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap kedai serbaneka tersebut.

Menurut Bernama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu melibatkan sensitiviti keagamaan.

“Semalam, Jakim telah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. KK Chai dan telah memberi amaran keras supaya perkara ini tidak berulang lagi.

“Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula Prosedur Operasi Standard syarikat.

Pada masa sama Hakimah memaklumkan Jakim turut menjadikan isu ini sebagai peringatan buat pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport.

Pihak disebut perlu lebih cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

“Ia bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

“Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Baca juga: Pelik boleh terlepas pandang, kedai serbaneka popular teruk dikecam selepas jual stoking lambang kalimah Allah