Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi tumpuan sepenuhnya membangunkan ‘Greater Kedah’ selaku Menteri Besar negeri itu.
Sebaliknya, Saifuddin yang enggan ‘menganggu’ Sanusi itu akan menumpukan perhatiannya terhadap beberapa projek ‘kecil’ dilaksanakan kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Kedah.
Respon bernada sinis tersebut diberikan Saifuddin bagi menjawab rungutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berhubung ketiadaan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, lapor Berita Harian.
“Saya nak bagi masa seluas-luasnya kepada Sanusi untuk bangunkan Greater Kedah. Dia nak tambak tanah di Langkawi. Saya nak bagi ruang dahulu dan kalau tidak ada satu pun mesyuarat atas nama majlis tindakan, saya percaya fokus Sanusi pada Greater Kedah.
“Saya tidak mahu ganggu dia. Biar dia bangunkan ‘airport‘ (Lapangan Terbang) Kulim. Lengkapkan dulu tambun tanah projek ‘reclaim‘ dekat Sungai Petani berjumlah RM40 bilion.
“Bagi saya jaga projek kecil. Biar dia jaga projek bilion-bilion,” kata Saifuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memetik laporan Berita Harian.
Pada masa yang sama, Saifuddin turut mendedahkan bahawa Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu hanya memberi tumpuan kepada litar lumba di Sungai Petani.
“Kemudian, dia nak buat jambatan darat. Saya nak dia tumpukan kepada Greater Kedah. Saya biar jaga isu kecil-kecil di Kedah. Dengan cara ini, saya menghormati tugas Sanusi sebagai Menteri Besar untuk membangunkan Greater Kedah.
“Biarlah saya menyelesaikan masalah loji rawatan air. Sebabnya di Kedah, saya dapat maklum balas bekalan air terputus. Loji rawatan air ada lima. Yang di bawah kerajaan Persekutuan serta masalah tanah sudah diselesaikan.
“Jadi ada projek baharu dan juga projek sambungan. Projek membabitkan RM1.8 bilion. Saya tengok dengan kekerapan saya turun (padang), boleh menjamin kelangsungan projek itu dengan lebih kemas.” Ulasnya lagi.
Terdahulu, Saifuddin dilaporkan berkata sikap Muhammad Sanusi yang enggan menjaga rahsia menjadi antara punca penganjuran Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.
Menurutnya, Sanusi tidak sepatutnya merungut mengenai perkara berkenaan selepas didapati sering menggunakan maklumat di dalam mesyuarat yang dihadirinya sebagai modal berceramah di pentas politik.
Muhammad Sanusi pula tampil memberi respon bahawa kebimbangan Saifuddin mengenai kebocoran rahsia kerajaan hanyalah satu alasan yang ‘mengada-ngada’ dan tidak masuk akal.