Fasha sebak terkenang nasib tinggal di rumah kebajikan, hargai kekuatan ibu membesarkan mereka sendirian

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa menyangka di sebalik perwatakan ceria pelakon Fasha Sandha sebenarnya terselit kisah duka semasa kecil.

Memahami situasi yang dilalui anak yatim, Fasha dedah pernah tinggal di rumah kebajikan hampir dua tahun ketika ibunya bergelar ibu tunggal.

Menurut Kosmo! Online, Fasha memaklumkan Hatijah Teh Man mengambil tanggungjawab sebagai penjaga kanak-kanak terbabit, sekali gus membawa tiga permata hati menumpang teduh.

“Kehidupan anak yatim memang cukup dekat dengan saya kerana bukan saja tak merasa kasih sayang ayah sejak usia dua tahun, saya juga pernah membesar sebumbung dengan kawan-kawan senasib.

“Waktu itu mama bekerja di sebuah rumah anak yatim di Perlis, jadi saya bersama adik-beradik lain tinggal di sana memandangkan mama juga sudah menjanda ketika itu.

“Hampir dua tahun kami tinggal di situ, bahkan saya masih ingat disebabkan mama terlampau sibuk menguruskan kanak-kanak di sana sampai tak sedar saya terjatuh longkang. Waktu itu saya berumur lima tahun,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Tiada figura bapa sejak kecil

Pada masa sama, Fasha berkongsi bahawa dia tidak pernah merasa figura seorang bapa dan menghargai ibunya yang tanpa penat lelah membesarkan dirinya dan adik beradik lain.

“Mama buat banyak kerja demi sesuap nasi, tapi setiap hari dia tak lupa sediakan sarapan sebelum menghantar kami bertiga ke sekolah dengan berbasikal sejauh tiga kilometer.

“Walaupun serba kekurangan, tetapi mama sentiasa pastikan perut kami tak kosong, sekurang-kurangnya bawa bekal donut, itu yang buatkan kami sangat kagumi semangat mama.

“Apatah lagi zaman dulu janda dipandang serong, tak macam sekarang yang hormatkan ibu tunggal. Tapi mama kami tak hirau semua itu. Dia memang wanita hebat,” ujarnya.

Baca juga: Fikir keluarga dulu, Hisyam Hamid tolak babak panas walaupun ditawar bayaran tinggi