Rakyat Kelantan tak dipinggirkan, Kerajaan Madani akan beri fokus kepada masyarakat luar bandar

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak menjadikan berlainan parti politik sebagai alasan untuk tidak memberikan bantuan, Kerajaan Madani komited laksana program untuk semua negeri di Malaysia.

Ini termasuk buat rakyat Kelantan yang akan terlibat dalam program dijalankan di bawah kepimpinan Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Bernama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, mesej itu jelas disampaikan ketika lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke negeri itu baru-baru ini.

“Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah jelas menyatakan rakyat di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar tidak akan dipinggirkan dari pelbagai aspek.

“Beliau (Ahmad Zahid) meminta agensi di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) memberi tumpuan dan membantu masyarakat luar bandar.

“Ia adalah melalui program menambah pendapatan seperti keusahawanan dan sebagainya,” katanya seperti dipetik Bernama.

Itu adalah jawapan diberikan selepas diminta mengulas mengenai sama ada rakyat Kelantan ada dilibatkan dengan program Kerajaan Madani.

Ahmad Jazlan merangkap Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan berkata, Kelantan tidak ditinggalkan dalam pelbagai program Kerajaan Madani.

“Walaupun Kelantan ini berlainan parti yang memimpin tetapi di bawah kepimpinan beliau (Ahmad Zahid) sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri beliau tidak meminggirkan rakyat negeri ini,” katanya.

Baca juga: Bagi saya jaga projek kecil, biar Sanusi uruskan projek bilion ringgit – Saifuddin Nasution