Siapa tidak kenal dengan pempengaruh Hafiz Mahamad yang berjiwa hamba ini. Namanya sentiasa disebut-sebut kerana kebaikannya walaupun ada kalanya terpalit dengan kontroversi yang tidak dijangka.
Suami kepada usahawan kosmetik Ainaa itu sekali lagi menjadi bualan ramai selepas mengumumkan mahu menaja 10 buah bas pulang ke kampung buat mereka yang memerlukan.
Sedar tidak sedar, sudah tahun keempat personaliti media sosial itu menyediakan bas percuma untuk orang ramai.
Katanya, di kala ramai orang yang teruja untuk membeli pakaian baharu, masih ada insan yang tidak berkemampuan untuk pulang ke desa menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarga.
“Saya dah bayarkan 10 buah bas untuk anda yang memerlukan balik beraya di kampung dan tahun ini merupakan tahun yang keempat kita ‘sponspor’.
“Kita buat ini sebab masih ada di kalangan kita yang tak fikirkan pasal baju raya sebaliknya mereka fikir, ‘Cukup tak duit nak beli tiket untuk balik raya nanti?” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz turut memberitahu sekiranya 10 buah bas itu tidak mencukupi, dia bercadang untuk membayar beberapa buah bas lagi bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan.
Selain berharap warganet mendoakan agar perniagaannya terus maju supaya dirinya dapat terus membantu mereka yang memerlukan.
“Kalau terlalu ramai dan tiket habis, insya-Allah saya akan tambah bas lagi. Harap dapat membantu ramai sahabat yang memerlukan, jangan cancel saat akhir dan book main main, kesian saya nanti.
“Awak semua doakan saya supaya rezeki melimpah ruah dan harap anda semua gembira. Saya ikhlaskan dan niatkan apa yang saya buat ini kerana Allah, semoga kita terus bersahabat baik. Kejayaan demi kebahagiaan,” ujarnya lagi.