“Adik ipar toksik, dah kahwin tapi susahkan laki aku, anak dia demam pun laki aku yang kena ambil emergency leave”

Oleh KIM SYAZIE

Selepas hampir 10 tahun hidup ‘bermadu’ dengan adik ipar, seorang wanita nekad keluar daripada rumah mentua selepas hampir 10 tahun tinggal bersama.

Tidak hanya perlu menghadapi cakap-cakap belakang menuduhnya mengabaikan mentua, wanita yang dikenali sebagai Lily itu perlu bekerja keras untuk keluarganya.

Hal ini kerana, suaminya masih perlu menanggung perbelanjaan dan juga separuh daripada kos rumah sewa ibunya itu walaupun sudah memutuskan untuk berpindah.

Mahu mencari tempat meluahkan perasaan, berikut perkongsian Lily yang sudah tidak mampu menahan sabar dengan sikap keterlaluan adik-beradik kepada suaminya itu;

“Aku sudah berkahwin dengan suami hampir 10 tahun. Sejak setahun yang lalu, aku ambil keputusan untuk jauhkan diri dari ipar dan mentua. 

“Mengapa ambil masa bertahun? Sebab aku baru sedar yang mereka toksik! Suka mengambil kesempatan atas kebaikan orang demi kepentingan diri sendiri. Selepas itu suka play victim.

“Sebenarnya dari tahun pertama perkahwinan, aku memang sudah mula bergaduh dengan ipar. Sebab kami duduk sebumbung dengan ipar dan mentua. 

“Akhirnya, aku ambil keputusan untuk keluar. Lagi pula duduk sebumbung ini pun bukan kehendak aku, tetapi kemahuan suami.

“Apabila berpindah keluar, aku dikatakan sebagai seseorang yang mementingkan diri sebab tak pedulikan perasaan mentua. Padahal yang berkata-kata itu bukan duduk sebumbung dengan kami. 

“Tak tahu langsung apa yang aku hadap. Cerita pasal ipar, aku ada adik ipar perempuan yang sudah berkahwin dan memiliki anak.

“Adik ipar aku ini jalani Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ) dengan suami. Masalahnya di sini, adik ipar yang tidak mahu tinggal dengan suami. Tetapi menyusahkan mak dan adik-beradik lain. 

“Dari sebelum berkahwin sampai sekarang, aku layan anak saudara macam anak sendiri. Pergi jalan ke mana pun aku bawa.

“Ipar aku ini pula tiada kereta. Jadi kalau nak pergi mana-mana memang harapkan suami aku sahaja. Bertahun aku hidup ibarat bermadu dengan ipar sendiri. 

“Anak dia demam pun suami aku terpaksa bergegas tinggalkan kerja untuk bawa anak dia ke klinik. Itu tidak mengapalah, kecemasan.

“Yang sakit hatinya, apabila benda remeh pun nak harapkan suami aku. Nak pergi mekap untuk makan malam pun suruh suami aku hantar. Terpaksa tunggulah satu ke dua jam siap mekap. 

“Selepas itu, kena hantar pula ke tempat makan malam. Balik pun kena pergi ambil juga. Sampai sekarang pun dia masih PJJ dengan suami.

“Adik ipar suka duduk di bawah ketiak mak dan adik-beradik. Sampailah satu tahap, aku hilang sabar. Sebab dia juga yang cabar aku. Dia ingat aku diam selama ini, aku OK sahaja. 

“Dalam hal ini bukan ipar sahaja salah, tetapi suami aku juga salah. Sebab terlalu baik dengan keluarga sampai ketepikan isteri sendiri.

“Semasa aku pindah keluar duduk sendiri, kakak ipar pula nak suami bayar separuh sewa rumah yang adik dan mak dia duduk. Dengan alasan suami bayarkan bahagian mak. 

“Padahal, adik perempuan dia sudah ada suami. Jadi suami adik iparlah yang sepatutnya bertanggungjawab bayar nafkah tempat tinggal buat anak dan isterinya.

“Mak mentua pulak, bukan aku tak pernah ajak duduk dengan aku dan suami. Tetapi dia asyik menolak dengan alasan kasihankan anak perempuannya (adik ipar aku). 

“Takut tiada orang jagakan cucunya. Sudahnya suami tak mampu nak tanggung nafkah aku dan anak-anak sendiri. Sebabnya, sibuk tanggung adik dan mak dia.

“Peti ais dan mesin basuh rumah mereka pun suami aku yang bayarkan. Sebab masa duduk sekali, kami beli dengan niat senangkan mak dan kegunaan bersama. 

“Tetapi apabila kami pindah, sehelai sepinggang sahaja. Semua barang yang mereka guna, suami aku kena bayar.

“Aku masa itu, reda-redanya sebab fikir kasihankan mak mentua dan adik ipar. Aku suri rumah tetapi usaha berniaga macam-macam sebab mahu tanggung keluarga. 

“Tetapi masa itu, suami aku tetap bertanggungjawab belikan makan dan minum apa semua. Cuma sewa rumah sahaja dia tak mampu bayar.

“Kakak ipar pula, pantang tengok kami berjalan sana sini. Mesti akan berbunyi, ‘nanti bawalah mak juga’, ‘nanti bawalah mak bercuti tidur hotel’, ‘nanti bawa mak makan sedap’. 

“Dia tak tahu yang kami ke sana sini itu semua duit hasil aku meniaga. Bukan aku minta duit adik lelaki dia pun!.

“Kalau nak tahu, selama ini aku layan ibu mentua lebih baik daripada aku layan mak sendiri. Setiap kali hari jadi mak suami, aku raikan. 

“Hari ibu, akulah yang paling beria bagi hadiah. Setiap bulan, dua atau tiga kali bawa keluar makan sana sini, jalan sana sini. Tetapi kakak ipar aku ini macam ada masalah hati.

“Bayangkan, masa kami berjalan dengan keluarga aku pun dia sibuk nak berbunyi itu ini. Macamlah aku tak pernah bawa mak dia berjalan langsung. 

“Kadang-kadang mak itu tak pernah minta nak berjalan ke apa. Kakak ipar yang melebih-lebih suruh bawa. Dia tak tahu kewangan adiknya macam mana.

“Teringat pula masa adik lelaki dia nak kahwin. Ada dia suruh suami aku belikan kasut berjenama berharga RM400 lebih untuk adiknya sebagai hantaran. 

“Suami aku masa itu, nak bayar sewa rumah sendiri berharga RM300 sebulan pun tak mampu. Boleh pula dia dengan selamba sahaja mintak ditaja.

“Mujurlah suami aku tak beli. Kalau tak, memang aku mengamuklah. Kakak ipar aku ini, dulunya baik. Selalu bantu adik-adik dari segi kewangan. 

“Yang tak seronoknya, dia suka mengungkit. Bila adik-beradik tak ikut kehendaknya, dia marah dan akan mengungkit pengorbanannya selama ini.

“Aku sebenarnya sudah penat melayan perangai ipar macam ini. Yang seorang itu, sudah berkahwin tetapi sibuk nak duduk bawah ketiak mak dan adik-beradik. 

“Yang seorang lagi suka kawal adik-beradik macam mereka tiada tanggungjawab lain pula. Letih.” Kongsi Lily (Bukan nama sebenar).

Baca juga: Empat tahun setia jadi Duta KK Mart, Shuib tidak akan bersikap ‘neutral’ & sanggup lepaskan jawatan