Kekal konsisten menabung setiap bulan sejak tujuh tahun lepas akhirnya membuahkan hasil apabila Dahlia Mohd Latif dinobatkan sebagai jutawan Super Saver 2023.
Wang bernilai RM1 juta itu adalah cabutan khas iaitu Istimewa ‘SSi Millionaire’ Bank Muamalat Malaysia (Bank Muamalat) lapor Harian Metro.
Bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) tidak menyangka akan diumumkan sebagai pemenang dan berkongsi akan menggunakan wang tersebut untuk beribadah.
“Saya menyimpan bukan niat untuk mendapat hadiah namun kerana Allah SWT. Hadiah ini adalah rezeki yang datang daripada-Nya.
“Setiap bulan saya akan menyimpan ke dalam akaun Bank Muamalat, jika ada rezeki lebih daripada pemberian suami saya akan simpan lebih sedikit,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Wanita berusia 61 tahun itu mula menyimpan di Bank Muamalat sejak 2017.
Pada masa sama, Dahlia berkongsi akan menggunakan wang tersebut untuk ibadah umrah, bersedekah dan sebagai simpanan buat anak-anak.
Pemenang kedua
Buat pemenang Jutawan SSi melalui cabutan khas iaitu Istimewa ‘SSi Millionaire’, Siti Rohani yang juga seorang peniaga makanan itu tidak menyangka sama sekali untuk memperoleh wang sebanyak itu.
Wanita berusia 36 tahun itu berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1 juta dan menyifatkan kemenangannya itu adalah kenangan terindah sepanjang hidupnya.
“Saya membuka akaun semasa dengan bank ini sejak 2016 dan memang menjadi pelanggan setia semua produk Bank Muamalat termasuk semua kempen yang dijalankan.
“Wang ini akan saya gunakan untuk kembangkan perniagaan, selain membuat simpanan untuk anak-anak serta membantu keluarga dan mereka yang memerlukan,” katanya.