Sering memuat naik gambar rumah di media sosial boleh mengundang padah terutamanya buat usahawan yang sering menunjuk barang berharga.
Seharusnya mereka ini lebih berhati-hati dalam perkongsian kerana pastinya ada mata-mata jahat memerhati.
Tular sebelum ini mengenai rumah seorang ahli perniagaan yang dipecah masuk pada 3 Mac lalu.
Anggaran kerugian yang dilaporkan berjumlah RM3.5 juta selepas peti besi mengandungi jongkong emas, wang tunai, beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik wanita terbabit dilarikan.
Usahawan selebriti, Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpanya baru-baru ini lapor Harian Metro.
“Saya masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Sampai sekarang tak boleh tidur malam. Takut pejam mata dia datang.
“Walaupun sekarang mereka sudah ada dalam penjara,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Syukur dapat balik barang
Dalam pada itu usahawan yang sering terpalit kontoversi itu bersyukur semua barangan berharga yang dirompak berjaya ditemui semula.
“Alhamdulillah. Allah hilangkan sekejap dan dah dapat balik semula.
“Terima kasih kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana dalam masa 24 jam dapat tangkap penjenayah terbabit,” katanya.
Pada masa sama kak KM turut memaklumkan dia akan berpindah ke rumah baru dalam masa terdekat.
“Saya sekeluarga akan pindah rumah selepas ini. Rumah yang sedia ada saya akan pastikan semua pintu dan tingkap ditutup.
“Sebagai langkah keselamatan, saya juga merancang nak ambil pengawal peribadi dan pemandu untuk mengikut saya ke mana saja selepas ini,” katanya.
Jadikan pengajaran
Kejadian ini sedikit sebanyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi mengenai kehidupan peribadi.
“Saya sekarang sudah tak percaya pada sesiapa pun. Ia pengajaran supaya saya kena sekat semua benda selepas ini.
“Saya juga tak boleh tunjuk sangat apa yang dimiliki. Rumah baru nanti mungkin saya tunjuk dalam rumah saja,” tambahnya