Pastinya ada di antara kita yang sedang perlahan-lahan berubah ke arah kebaikan, ditambah pula di bulan Ramadan ini, pintu kemaafan terbuka seluasnya.
Tapi bila dah berubah pastinya ada halangan kecil yang menyebabkan kita mahu kembali semula kepada keadaan asal, jika iman tak kuat memang hanyut.
Ikuti perkongsian Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob di Harian Metro.
Ulama telah memberikan lima panduan untuk kita terus istiqamah dalam beramal soleh.
Pertama, sentiasalah memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan.
Muhasabah diri kita mengapakah semangat kita beramal soleh di dalam bulan Ramadan lebih hebat berbanding dengan keadaan kita di bulan yang lain?
Adakah kita beramal hanya kerana disebabkan bulan Ramadhan? Sekiranya amal soleh yang kita lakukan ikhlas kerana Allah SWT, sepatutnya segala kebaikan tersebut kita kekalkan dan dilaksanakan sepanjang masa dalam kehidupan kita.
Oleh itu, sucikanlah hati kita dengan sentiasa mengikhlaskan niat dalam setiap amal dan pekerjaan yang kita lakukan.
Kedua, perbanyakkan berdoa
Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan daripada godaan iblis dan syaitan yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat.
Rasulullah SAW sering berdoa sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith, daripada Shahar bin Haushab RA: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” (Riwayat al-Tirmizi)
Ketiga, berusaha mencari teman-teman dan sahabat yang suka melakukan kebaikan.
Teman yang baik amat penting dalam proses perubahan diri kerana mereka akan sentiasa mengajak kita melakukan kebaikan bahkan menegur kesalahan dan dosa yang kita lakukan.
Keempat, hayatilah sirah Nabi SAW dan kehidupan para sahabat Rasulullah SAW.
Walaupun ada dalam kalangan sahabat yang dijamin syurga, namun anugerah yang dikurniakan Allah SWT itu tidak menjadikan mereka bermalas-malasan atau berehat di rumah bahkan mereka tetap bersungguh-sungguh beramal dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
Kelima, mulakanlah amal soleh secara berperingkat-peringkat tetapi berterusan.
Bermula dengan jumlah yang sedikit kepada jumlah yang banyak ataupun bermula dari peringkat yang rendah hingga ke peringkat yang tinggi secara perlahan-lahan dan berterusan (istimrar).
Daripada Aisyah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” – (Riwayat Muslim).
Mulakanlah amalan membaca al-Quran dengan jumlah yang sedikit dan ringan. Begitu juga amalan berpuasa sunat, mulakanlah dengan puasa 6 hari di bulan Syawal terlebih dahulu dan puasa sunat pada hari Isnin dan juga Khamis.
Lakukanlah secara berterusan tanpa jemu sehingga akhirnya kita dapat melazimi segala ibadah tersebut dengan lebih banyak lagi.
Baca juga: Dah masuk 10 hari kedua dalam bulan Ramadan! Ini 5 keistimewaan yang anda perlu tahu