Raih hampir 1 juta tontonan, netizen dari seberang teruja jumpa Burger Ramly dijual di Indonesia

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka daging burger tempatan keluaran Ramly Food Processing Sdn Bhd (RFPSB) yang bermula dengan hanya burger jalanan, kini berjaya melebarkan sayapnya ke Indonesia.

Bukan setakat mendapat tempat di hati rakyat seberang, bahkan salah seorang peniaga di Kota Bandar Lampung juga memilih untuk menjual burger Ramly kepada warga penduduk.

Menerusi maklumat diperoleh, Indonesia hampir tidak mempunyai kedai burger tepi jalan seperti di Malaysia.

Pelancong Malaysia yang mengembara ke sana juga meluahkan perkara sama, mengatakan agak sukar untuk mencari gerai burger di negara itu.

Seperti perkongsian video dimuat naik pengguna TikTok dari Indonesia, individu itu meluahkan rasa teruja apabila menemui sebuah gerai yang menjual burger dari Malaysia iaitu burger Ramly.

“Bang ini mirip burger Ramly bang?,” tanya individu itu.

“Emang burger Ramly. Dari Malaysia ini,” balas peniaga itu.

“Serius bang?”, “iya”, jawab peniaga itu sambil tersenyum.

Dia kemudian memesan satu burger daging special yang berharga 18,000 rupiah atau sekitar RM5.40.

Hasilnya, dia begitu terkejut dengan rasa burger Ramly yang menurutnya menepati seleranya.

Video itu sehingga kini mendapat hampir 1 juta tontonan, dengan lebih 38,000 tanda suka.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa bangga melihat jenama Ramly kini melebarkan sayap dan ‘mendunia’ di Indonesia.

“Agaknya brother ni pernah tinggal dekat Malaysia kot, lepastu balik sana jual burger ala-ala Ramli. Macam ada yang abang tu balik (negara asal) jual nasi lemak. Ramai pula tu peminat nasi lemak tu,” komen pengguna TikTok.

“Mamat ni dulu kerja kat Desa Jaya, Kepong. Gerai burger depan 7eleven. Lama juga weii dia kerja situ,” kongsi pula pengguna lain.

Begitupun, Indonesia dan sikap suka ‘claim’ tidak dapat dipisahkan. Mereka mengatakan bahawa burger Ramly sebenarnya berasal dari negara mereka.

Baca juga: Baru nak berubah ke arah kebaikan, ini 5 panduan untuk kekal istiqamah