Bila bulan Ramadan tiba, ramai yang berpusu-pusu mahu buat kebaikan untuk dapatkan pahala berlipat ganda.
Waktu malam dihabiskan untuk beribadah, berjemaah di masjid atau surau malah ada yang sanggup sertai Qiamullail.
Ini antara beberapa amalan di bulan Ramadan yang boleh anda lakukan. Artikel ini adalah perkongsian dari portal UstazUstazah.
1. Berpuasa di Bulan Ramadan
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith:
i) Semua pintu syurga dibuka dan orang yang telah meninggal dunia dihentikan azab mereka buat sementara.
ii) Pintu-pintu neraka pula ditutup, oleh itu orang yang mati dibulan puasa terlepas daripada azab kubur.
iii)Pada bulan puasa juga dirantai serta dibelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu dan menggoda orang yang berpuasa.
iv) Digalakkan orang yang berpuasa agar berlumba-lumba membuat kebajikan dan kebaikan, kerana setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala yang berganda-ganda.
2. Solat Tarawih
Seluruh umat Islam menyambut bulan Ramadan yang mulia dengan beribadat solat sunat Tarawih, sunat Witir, tadarus al-Quran dan ibadat yang lain. Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut), sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: ”Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaanNya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Huraian Hadith:
i) Orang yang berpuasa di bulan Ramadan dengan ikhlas serta mengharapkan keredhaan Allah SWT akan diampunkan segala dosa-dosa kecilnya.
ii) Ramadan merupakan bulan yang paling mulia di dalam Islam kerana bulan ini Allah SWT menurunkan al-Quran al-Karim, berlakunya malam “Lailatulqadar” dimana malam tersebut lebih mulia dan berkat daripada seribu bulan.
ii) Doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak oleh Allah SWT sehinggalah ia berbuka, oleh itu hendaklah mereka yang berpuasa memperbanyakkan doa.
3. Hindari Perkara Maksiat ketika Berpuasa
Perbuatan berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah berat.
“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat al-Bukhari, 1903).
Huraian Hadith:
i) Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah dan masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah SWT ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.
4. Berbuka Puasa Mengikut Keperluan
Kekenyangan membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah.
Huraian Hadith:
i) Orang yang berpuasa dituntut menyediakan bahan makanan atau minuman sekadar keperluan sahaja dan tidak melampaui batas sehingga berlaku pembaziran.
5. Menjaga Lidah Ketika Berpuasa
Lidah adalah anggota badan utama yang perlu dijaga ketika berpuasa. Kita dilarang mengeluarkan kata-kata yang tidak elok samada berbentuk lisan mahupun menghina orang dalam sosial media, kesannya adalah tetap sama.
“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
i) Orang yang berpuasa hendaklah sabar menerima dugaan daripada Allah SWT, sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.
ii) Untuk mengelak daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, maka digalakkan memperbanyakkan istighfar kepada Allah, berzikir, dan berselawat.
6. Menyegerakan Berbuka Puasa
Setiap tuntutan di dalam syara’ mempunyai hikmah yang tertentu dan ini menunjukkan sikap kita dalam mentaati segala perintah dan suruhan Allah SWT Rasulullah SAW.
- “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa”. (Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098).
Huraian Hadith:
i) Orang yang berpuasa disunatkan bersegera berbuka setelah diyakini masuk waktu maghrib, makruh jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa ada keuzuran syarie.
ii) Hikmahnya supaya orang yang berpuasa dapat bersegera menunaikan ibadah dan lebih menguatkannya untuk beribadah pada waktu malam.
7. Galakkan Bersahur
Hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut berdasarkan nas-nas yang menggalakkannya, disamping ianya juga merupakan perbezaan antara puasa orang Islam dan juga puasa ahli kitab.
“Maknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur”.
(Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/207)
“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”
Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095).
Huraian Hadith:
i) Berkat pada sahur itu ialah mengikut sunnah dan menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa.
ii) Memberi semangat untuk berpuasa dan memberi galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur.
8. Membaca Al-Quran
Bulan Ramadan adalah bulan Al-Quran diturunkan. Gunakan kesempatan Ramadan untuk membaca dan memahami Al-Quran.
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).
Kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran. Ia bukan sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya dengan indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupannya.
9. Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa.
“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi).
“Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.” (Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah).
Baca juga: Bos anjur buka puasa untuk staff pejabat tapi minta bayaran RM100 seorang, pekerja luah rasa ralat