Tujuh tahun tak pernah gagal jual air balang RM1 sebungkus, peniaga syukur setiap Ramadan licin semuanya

Oleh KIM SYAZIE

Seorang peniaga air di bazar Ramadan Temenggung, Kulai dekat Johor tidak pernah gagal menjual air balang pada harga seringgit sebungkus sejak tujuh tahun lalu.

Memasuki tahun ke lapan, Mohd Affizi Md Anuar, 39, masih meneruskan usahanya menjual dengan harga runtuh kerana mahu berkongsi rezeki dengan orang ramai pada bulan Ramadan.

Sebanyak tujuh balang air pelbagai perisa dijual dengan harga seringgit sebungkus dan akan ‘licin’ setiap hari, lapor Sinar Harian.

“Saya masih menjual dengan harga RM1 walaupun sekarang harga barang meningkat selain gula juga sukar diperoleh. Pernah juga saya terpaksa guna gula premium yang harganya lebih mahal.

“Disebabkan sudah berniat untuk menjual pada harga yang murah untuk membantu ramai, saya teruskan juga jual air seringgit sebungkus. Alhamdulillah, sudah tujuh tahun, saya bertahan menjual air sebungkus RM1,” katanya seperti dilapor.

Menurut Affizi, kebanyakan pembeli merupakan pelanggan tetap yang sudah mengetahui tentang perniagaan air seringgit yang diusahakan setiap kali Ramadan.

Setiap hari juga, dianggarkan 400 bungkus air akan terjual.

“Jenis air yang dijual akan ditukar setiap hari, bagi memberi pilihan kepada pelanggan.

“Antara air yang dijual ialah air kelapa, teh bunga, blue lemon, bandung cincau, tembikai laici, anggur nata de coco, cincau dan asam boi,” ujarnya.

Dia yang turut mengusahakan kedai makan di Indahpura memberitahu ada juga orang perseorangan yang membeli air balang digerainya untuk diinfak.

“Ramai juga individu persendirian yang datang sini untuk membuat infak, contohnya mereka beri RM100 untuk disedekahkan 100 bungkusan air kepada pelanggan.

“Syukur rezeki diberikan cukup luas, apabila kita memberi Allah mudahkan urusan dan lapangkan rezeki saya dan isteri Siti Nazura Abd Jalil, 37 dan empat anak kami,” ujarnya.

Baca juga: Bank dah tak terima duit syiling, habis yang menabung selama ini macam mana?