Kedai serbaneka jual gula 10 sen sepeket dikenakan tindakan, ada sebab kukuh rupanya…

Oleh MAISARAH AISYA

Sebenarnya kalau kedai nak buat jualan murah, pihak tertentu perlu buat permohonan terlebih dahulu dan bukan dibuat secara sesuka hati.

Tular kedai serbaneka baru dibuka di Kuala Kangsar Prima, Perak menjual gula pada harga 10 sen sepeket dan air tin berkarbonat 99 sen.

Kedai tersebut sudah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) lapor Sinar Harian..

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan tersebut dibuat sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kuala Kangsar.

Satu pemeriksaan ke atas kedai serbaneka itu telah dijalankan pada Rabu berhubung satu iklan jualan murah barang kawalan yang tular di media sosial.

Tak buat permohonon jualan murah lebih tiga hari

Menurut Kamalludin, kedai serbaneka yang mempunyai cawangan di seluruh negara itu didapati menjual air tin berkarbonat berharga promosi iaitu 99 sen sejak 16 Mac 2024.

“Semakan awal mendapati pihak kedai serbaneka berkenaan disyaki tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah bagi tempoh jualan melebihi tiga hari sempena pembukaan cawangan baharu mereka di bandar ini.

“Ini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (Pindaan) 2019,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tiada lesen runcit jual barang-barang kawalan berjadual (CSA)

Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pasukan serbuan juga mendapati kedai berkenaan disyaki tidak memiliki lesen runcit barang-barang kawalan berjadual (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung.

Menurutnya, lesen CSA itu diperlukan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas barang kawalan gula, minyak masak, tepung, resit jualan dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai sitaan berjumlah RM200.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.

Menurutnya, bagi kes tidak mengemukakan permohonan jualan murah, kedai serbaneka itu akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 jika sabit kesalahan.

Baca juga: Bank dah tak terima duit syiling, habis yang menabung selama ini macam mana?