Isteri pertama kepada usahawan sensasi, Datuk Red iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila tampil membuat permohonan maaf di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
Wanita yang mesra disapa Datin Red itu mengakui ketelanjurannya dalam memuat naik hantaran berlandaskan emosi semata-mata di platform berkenaan sebelum ini.
Turut memberikan peringatan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan tipu daya manusia, perkongsian yang mencuri perhatian itu dikongsikan di Instastory miliknya.
“Maaf saya manusia, selalu melakukan kesilapan dan terlalu mengikut emosi. Kita ada satu sahaja tuhan iaitu Allah S.W.T. Jangan pernah sekali pun terjatuh dengan tipu helah manusia.
“Mana yang digelar manusia, tidak boleh dibanding-bandingkan dengan Maha Esa,” kata Datin Red yang juga merupakan madu kepada penyanyi terkenal iaitu Adira.
Terdahulu, Datuk Red mengejutkan banyak pihak selepas mengakui jatuh muflis dan sedang mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan dua isteri dan anak-anaknya.
Dalam pendedahan tersebut, pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan itu hanya menyebut nama isteri keduanya iaitu Adira yang banyak menolong sepanjang tempoh menganggur.
Perkara tersebut difahamkan telah membuat isteri pertamanya yang turut membantu sehingga sanggup menjual tanah meluahkan ketidakpuasan hatinya di media sosial.
“Pinjam duit orang lain, nak pula kau sebut. Yang kau pinjam duit aku, tak nak pula cerita. Sampai trauma anak-anak. Kita ini sampai jual tanah sebab nak tolong dia.
“Tidak mengapa, Allah ada. Masa akan membongkarkan segala-galanya,” ujar Datin Red berkongsi kekesalannya menerusi hantaran di Instastory miliknya pada Rabu lalu.
Hantaran ini bagaimanapun malah menimbulkan kemarahan kakak Adira iaitu Emma Suhaimi yang naik berang kerana menurutnya, adiknya itu telah menjadi mangsa buli.
Jelasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Adira selaku ‘orang lain’ yang dimaksudkan itu sudah banyak berkorban membantu keluarga termasuk Datin Red.
Datin Red kemudian menegaskan bahawa madunya, Adira tidak perlu terasa kerana hantaran tersebut hanya ditujukan khusus untuk suami mereka sebagai peringatan.
Hal ini kerana, Datuk Red seolah-olah telah terlupa akan pengorbanannya sebagai isteri pertama selepas melayari bahtera rumah tangga bersama selama 18 tahun.
Baca juga: Dulu gah dengan gaya lincah, ramai terkejut lihat keadaan terbaru pelakon veteran