Baru tahu ada cara berkesan elak anak ‘pandai’ mencarut, segera lakukan 6 langkah ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Kanak-kanak yang mula mengeluarkan kata kesat dengan mencarut di usia muda merupakan salah satu situasi paling membimbangkan bagi ibu bapa.

Semenangnya tidak dapat dinafikan, masalah ini berat terutamanya bagi ibu bapa yang tidak pernah mengeluarkan kata berunsur negatif di hadapan anak mereka.

Namun begitu, ibu bapa dinasihatkan untuk berhati-hati agar tidak tersilap langkah dengan bertindak terburu-buru ketika pertama kali mendengar anak anda mencarut.

Jangan terus bertindak balas berlebihan (overreact) dengan memarahi atau menghukum mereka, berikut langkah-langkah boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini.

Langkah-langkah mengatasi anak mencarut

1. Tenang

Tenangkan diri anda dan maklumkan kepada anak bahawa perkataan itu tidak boleh digunakan. Jangan lupa beri pilihan perkataan lain yang lebih baik dan sesuai. 

Cuba fahamkan anak bahawa orang yang mendengar perkataan mencarut itu boleh ‘tercedera’ dalam hatinya serupa dengan merasa sakit akibat ditumbuk atau dicubit.

2. Jangan gelak!

Ibu bapa mungkin merasa terhibur ketika mendengar anak kecil mula mencarut. Namun, ibu bapa disarankan untuk mencuba menahan ketawa di hadapan mereka.

Hal ini kerana, anak kecil belum boleh berfikir dengan matang dan masih meneroka ‘bidang’ penggunaan perkataan yang mereka dengar dari orang lain selain ibu bapa.

Sekiranya ibu bapa ketawa, anak-anak anda bakal salah faham bahawa kata-kata mencarut itu boleh digunakan dan akan mengulangi perlakuan buruk tersebut.

3. Periksa apa yang anak tonton

Periksa rancangan televisyen atau saluran Youtube yang ditonton anak. Ingat, program khusus buat kanak-kanak juga boleh memberi pengaruh buruk kepada mereka.

4. Ibu bapa perlu lihat pada diri sendiri

Nilai semula bagaimana kita berbual di hadapan anak-anak sama ada secara sedar ataupun tidak. Ibu bapa mungkin pernah mencarut ketika bercakap dalam telefon.

Perkara ini juga boleh berlaku ketika kita memandu di mana ibu bapa menyumpah pemandu lain di hadapan anak-anak yang berada dalam kereta yang sama.

Sekiranya ibu bapa sudah mengenal pasti kesalahan mereka, cepat-cepat beritahu anak bahawa perkataan itu tidak sesuai digunakan dan minta maaf kepada mereka.

5. Beri pujian bila anak berhenti mencarut

Jangan lupa untuk memberi pujian setiap kali ada kemajuan pada anak anda seperti mereka mula berhenti menyebut perkataan berbaur kesat ataupun mencarut.

Pujian merupakan salah satu proses pengukuhan (reinforcement) yang positif untuk meningkatkan tingkat laku baik daripada anak-anak anda. Kaedah ini sangat efektif.

6. Ibu bapa perlu konsisten

Langkah yang paling penting adalah konsisten. Bersikap istiqamah dalam mengubah tingkah laku anak-anak. Jangan hanya bersemangat ketika ‘teringat’ sahaja.

Sekiranya hari ini kita tegur bahawa perkataan yang diucapkan anak itu tidak boleh digunakan, jangan pula dibiarkan mereka sebut perkataan sama keesokkan harinya.

Wajar untuk dijadikan panduan, artikel ini ditulis berdasarkan perkongsian yang dimuat naik oleh Hazhari Ismail menerusi satu hantaran tular di akaun Facebook miliknya.

“Tetapi ingat ya, setiap anak berbeza. Maka hasilnya juga berbeza, sama ada cepat atau lambat sahaja.” Jelasnya memberi peringatan yang tegas kepada ibu bapa.

Baca juga: Netizen baru perasan ada Jalil Hamid dalam iklan raya PKNS, rupanya ini ‘job’ pertama lepas 2 tahun tak dipanggil berlakon