Seorang isteri sudah tidak dapat menahan sabar dengan sikap suami yang langsung tidak mahu berubah semenjak di awal perkahwinan sehinggalah sekarang.
Bukan sahaja enggan bekerjasama membuat pekerjaan rumah, suami kepada wanita bernama Nur itu malah menambahkan beban isteri dengan sikapnya yang pemalas.
Hilang arah tuju dalam usaha menyelamatkan rumah tangga, inilah perkongsian Nur yang memiliki persoalan mengenai sikap aneh sesetengah ‘lelaki’ seperti suaminya.
“Assalamualaikum. Saya nak bertanyalah, kenapa semua benda kena bersuruh kalau dengan lelaki ini ya? Rasa penat sangat sebagai seorang isteri. Saya tahu tak semua lelaki macam ini. Jadi saya tak pukul rata, cuma nak tanya kepada orang yang selalu kena suruh ini, kenapa kamu semua jadi seperti ini?.
“Penat sangat hari-hari kena tulis perkara apa kena buat di rumah sedangkan benda itu rutin harian. Jika isteri sudah memasak, tolonglah cuci. Kalau isteri basuhkan dan jemur baju, tolonglah angkat. Tak perlu pun nak bersuruh. Saya penat sangat sampai rasa nak menangis.
“Rumah sekarang sudah macam kandang kerbau hanya sebab saya balik kampung seminggu. Dengan baju tak berlipat, berbakul-bakul barang belum dikemas. Semua harap isteri yang buat. Tetapi saya ini sudah tahap penat sangat. Saya tak minta dia buat seorang diri. Saya mahukan suami buat kerja sama-sama tanpa disuruh.
“Semakin lama, rasa semakin kecewa melihat keadaan rumah yang tidak berubah. Rasa geram apabila setiap kali makan, pinggan mangkuk tak reti basuh terus. Wajib ditinggalkan sekurangnya sehari. Jadi akhirnya isteri yang perlu buat semuanya. Rasa penat ini buatkan saya memilih untuk diam apabila marah.
“Kalau merajuk juga, seorang diri. Menangis pun sendiri sebab di awal perkahwinan dulu, saya sering menegur suami tetapi langsung tiada perubahan. Dia tak boleh fikir sendiri. Mungkin juga salah mak ayah dia yang tak pernah ajar anak lelaki buat kerja. Semua benda kena suruh. Semua benda perempuan yang kena fikirkan.
“Tolonglah beritahu apakah penyelesaian masalah ini selain cerai berai. Mengapalah ada orang yang perangai semua kena bersuruh macam ini? Kenapa mereka langsung tak kasihankan pasangan atau ibu bapa? Aku penat.” Kata Nur (Bukan nama sebenar) berkongsi kekesalannya di laman luahan atas talian.