“Gaji puluh ribu dengan elaun” – Anwar Ibrahim tempelak Ahli Parlimen mengaku diri konon B40

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada segelintir Ahli Parlimen yang tidak senang akan perubahan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pelbagai usaha kerajaan untuk melaksanakan perubahan termasuk dalam penyasaran subsidi serta skim pencen lapor Harian Metro.

Namun ada pula Ahli Parlimen yang mempersoalkan usaha terbabit kerana mendakwa ada dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40.

“Islam menganjurkan perubahan dan kemajuan, Islam anjur integriti dan tata kelola yang baik tetapi Islam dibicarakan, apabila kita sebut tata kelola amalan sakau, dia sangsi.

“Ada Ahli Parlimen kata kenapa nak perubahan, apabila (kita buat) penyasaran subsidi dan perubahan sistem pencen, dia kata tak boleh kerana Ahli Parlimen ada yang B40.

“Itu cakap apa? Gaji puluh ribu dengan elaun, masih B40. Dia ini cakap dari benua mana?” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Kerajaan sedang tangani pelbagai isu

Pada masa sama Anwar memaklumkan, kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Terutamanya dalam menangani isu kos sara hidup, menentang ‘kartel’ selain memaksa supaya harga beras import diturunkan.

“Saya tidak katakan saya sudah sempurna, saya juga ada kelemahan tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan lampau.

“Dan memang bukan mudah kerana serangan daripada tauke besar, orang yang dah kumpul kekayaan berbilion (ringgit) itu kuat, dia pengaruhi media sosial, boleh beli ramai orang dalam Facebook atau TikTok.

“Tetapi saya kata tiada makna saya jadi ketua dan pemimpin kalau saya tak sanggup hadapi risiko itu kerana saya nak selamatkan negara daripada amalan curang.

“Saya yakin Malaysia dengan kekuatan Melayu, Cina, India, Dayak semuanya kalau (dalam) semangat kesatuan, hindari api perkauman, agama yang sempit, kita boleh maju,” tambahnya.

Baca juga: “Jangan berlumba anjur majlis besar dan mewah. Itu bukan duit anda pun” – Anwar Ibrahim