“Aku tak setuju dia nak halalkan hubungan ini, tak sanggup tengok isterinya merana”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita yang membesar tanpa kasih sayang tidak menyangka dirinya bakal menjalinkan hubungan percintaan dengan ‘si dia’ yang bergelar suami orang.

Awalnya hanya menyimpan rasa suka, wanita yang dikenali sebagai Bulan itu malah terbuai perasaan apabila rakan sekerja mula mengambil berat terhadap dirinya.

Menyedari kesilapannya menjalin hubungan sulit dengan suami orang, berikut perkongsian Bulan yang menyimpan harapan supaya Tuhan mengampunkan segala dosanya.

“Aku Bulan (bukan nama sebenar). Bekerja sebagai kerani di terminal bas. Mak aku sentiasa sibuk mencari nafkah untuk keluarga kerana ayah sudah tiada disisi. Aku ini anak sulung daripada enam adik-beradik. Jujur, sangat tidak menyenangkan apabila kita perlu pikul semua beban sendiri. Jujur aku lelah.

“Aku memang tak pernah dapat kasih sayang dari sesiapa sejak kecil kerana semua orang sekelilingku sangat sibuk. Ibarat dilahirkan untuk menjadi seseorang yang kuat walhal aku perempuan. Sangat ingin diri dihargai dan disayangi kerana aku tak pernah dapat semua perkara itu sejak kecil lagi.

“Aku seorang yang peramah. Keperluan kerja mengharuskan untuk selalu berurusan dengan pemandu bas. Aku bertegur dengan semua orang tetapi sentiasa menjaga batas kerana mereka semua kebanyakkannya sudah berumah tangga. Sehinggalah satu tahap aku kenal dengan seorang lelaki yang digelar Encik Mimpi.

“Lelaki itu salah seorang pemandu di tempat kerja aku. Sejujurnya, aku memang tertarik kepadanya sejak mula masuk bekerja di situ. Aku selalu perhatikannya, tetapi kami langsung tak bercakap. Dia juga sudah berkahwin dan memang sejenis yang jarang bercakap. Jadi aku sekadar ada perasaan suka biasa-biasa sahaja.

“Suatu hari, bas dia rosak. Majikan minta aku menelefonnya untuk tanya macam mana dengan keadaan penumpang dan bas tersebut. Bergitulah kisah kami bermula. Kita berdua mula rapat dan selalu bertukar khabar. Lelaki itu sangat ambil berat tentang aku. Semua tentang aku, dia nak ambil tahu. Setiap hari ajak aku pergi sarapan.

“Pada waktu malam pula dia akan menelefon aku. Secara jujurnya, aku hanya bosan dan langsung tiada perasaan padanya pada awalnya. Hanya layan sebab suka-suka. Tetapi lama-kelamaan, perasaan mula membuak buak. Aku tahu salah tetapi perasaan ini tak boleh dikawal.

“Aku selalu mengalami masalah yang berat di dalam hidup. Dia satu-satunya insan yang selalu memberikan aku semangat berterusan sepanjang hari. Setiap pagi ajak aku pergi makan. Kalau aku tak nak teman, dia akan bungkuskan untukku setiap hari. Tetap berkeras walaupun aku cuba tolak.

“Dia seorang yang sangat baik. Sepanjang berkenalan tak pernah berkasar. Dia seorang yang sangat lemah lembut. Bahkan hanya diam dan selalu minta maaf ketika aku marah atau tengking kepadanya. Walaupun itu semua salah aku. Tak tahu sama ada betul-betul menyayangiku atau sebaliknya.

“Dia kelihatan seolah-olah sangat ikhlas terhadapku. Tetapi dia sudah berkeluarga. Namun semua berjalan seperti biasa sampai suatu hari dia ditukarkan kepada laluan lain. Maksudnya kami sudah tidak berjumpa. Dia mula berubah dengan alasan sibuk atau penat. Aku selalu bertanya kepadanya kenapa selalu menghilang.

“Tetapi aku tak mendesak dan cuba untuk faham. Namun lama-kelamaan, sikapnya seolah-olah mahu mengabaikan aku. Cuba juga bercakap baik-baik dengannya. Aku cakap, ‘kalau awak tak nak saya, beritahu. Saya ini bukan sesiapa kepada awak. Tiada hak nak marah sebab saya bukan isteri awak.

“Kemudian dia minta maaf dan datang ke tempat kerjaku untuk tebus kesalahannya. Jujur cakap, aku tahu perkara ini berdosa dan salah. Aku tahu. Suatu hari, dia cakap nak jujur dengan isterinya tentang kami berdua. Nak halalkan hubungan ini tetapi aku tak bagi. Aku tak nak sakitkan hati isterinya.

“Aku tahu betapa sakitnya apabila ditinggalkan. Aku halang namun dia tak berputus asa. Terus menerus ajak aku kahwin. Katanya ikhlas nak halalkan aku. Suatu hari, isteri dia terbaca perbualan kami berdua. Isterinya menghubungi aku untuk bertanya mengenai hubungan kami.  Wanita itu juga beritahu suaminya mengenai perkara itu.

“Suami dia mengaku ada hubungan dengan aku. Isteri dia suruh pilih sama ada aku atau dirinya. Tetapi dia hanya minta maaf kerana takut pilihan itu akan menyakitkan hati sebelah pihak. Jujur aku sebenarnya tak kuat nak ada di posisi sekarang. Tak tahulah apa yang harus aku lakukan.

“Aku minta dia tinggalkan hubungan ini kerana kasihankan isteri. Tetapi dia menangis cakap aku sangat penting dalam hidupnya. Memang dia baik, namun bukan milikku. Sebaiknya dari awal aku tak memulakan cerita kami. Aku tidak tahu pula rasa sayang akan menjadi sedalam ini kepadanya.

“Sekarang aku hanya jalani hubungan seperti biasa. Terkadang merasa hanya dicari apabila sunyi. Terkadang rasa aku sangat dicintai. Perasaan bercampur aduk. Jujur aku sangatlah tak kuat kalau dia tiada. Banyak dia tolong aku dari dulu sehinggalah hari ini. Terlalu banyak masalah aku cerita kepadanya.

“Jujur aku selalu meninggalkannya, tinggikan suara, marah 24 jam. Dengan niat, dia akan bosan dan tinggalkan aku. Tetapi dia sangat baik, selalu cakap akan menunggu aku baik semula dan menyayangiku. Ya allah, jujur aku sebak. Kenapa aku dipertemu dengannya di saat diri memerlukan seseorang disisi.

“Dia adalah bahuku. Tak boleh jahat tetapi aku sangat memerlukannya. Aku selalu cakap walaupun apa pun yang terjadi, jangan tinggalkan isterinya. Tinggalkan aku walaupun sebenarnya dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu bertapa beratnya hidup tanpanya. Sejak dia hadir, aku tak pernah menangis seorang diri di malam hari.

“Adanya dia membuatkan hidup yang kelam menjadi lebih baik. Salahkah diriku ingin dicintai? Dihargai? Hadirnya dia sangat mengubah hidupku. Dialah punca dunia aku kembali ceria sejak kepergian ayah. Hanya dengannya aku boleh melepaskan semua masalah yang dipendam.

“Dengannya aku boleh jadi diri sendiri. Aku sentiasa berdoa kepada Allah meminta pengampunan, meminta untuk menghilangkan perasaanku padanya. Bahkan setiap malam aku solat taubat kerana telah melakukan dosa ini. Mencintai suami orang sememangnya salah tetapi apa dayaku hanya insan biasa yang lemah.” Katanya.

Baca juga: “Gaji puluh ribu dengan elaun” – Anwar Ibrahim tempelak Ahli Parlimen mengaku diri konon B40