Taubat dah tak nak jejak Cameron Highlands, duduk dua hari je berhabis RM1.5K

Oleh KIM SYAZIE

Percutian sebuah keluarga ke pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang meninggalkan seribu satu kenangan pahit buat seorang lelaki apabila dia terpaksa berbelanja tinggi hanya untuk menampung kos penginapan dan makan.

Menerusi satu video tular, lelaki itu berkata percutian tiga hari dua malam yang dirancang terpaksa disingkatkan kepada dua hari kerana perbelanjaan yang terlampau mahal perlu ditanggung olehnya sebagai ketua keluarga.

Paling mengecewakan adalah apabila kos makanan di sana dikatakan melampaui batas dan jauh berbeza daripada kebiasaan.

Katanya, hidangan nasi putih, kangkung goreng belacan, telur dadar dan tomyam campur menelan kos RM85 untuk tiga orang.

Situasi tersebut disifatkan terlampau mahal dan berbeza dengan kawasan kediamannya yang mana dia boleh memesan seekor ikan siakap dengan kos setinggi itu.

Berkongsi cerita di laman media, pemuda terbabit kecewa akan sikap segelintir peniaga di Cameron Highlands yang didakwa sengaja mengaut untung lebih daripada pelancong.

“Aku taubat tak akan jejak dah ke Cameron Highlands.

“Jumaat Sabtu aku ke sana sini, dah habis sebanyak RM1,470, aku tak beli apa-apa pun yang lain cuma makan dan penginapan,” katanya.

Berbanding awal tahun 2023, dia cuma berbelanja sekitar RM600 sahaja ketika bercuti di Cameron.

Menggesa agar masyarakat mahupun golongan peniaga di Cameron Highlands untuk tidak mengambil kesempatan, lelaki itu berharap agar isu terbabit segera diperbaiki supaya orang ramai boleh bercuti dengan kadar yang lebih jimat.

Baca juga: Baru tahu laluan LRT Kelana Jaya dibina bawah kubur, ini peristiwa seram yang pernah berlaku