5 jenama yang selama ini ingatkan dari Malaysia, rupanya produk Mat Saleh

Oleh KIM SYAZIE

Ada beberapa jenama di pasaran yang biasa digunakan rakyat di Malaysia sehingga ramai menyangka ia adalah produk negara ini. 

Namun sangkaan itu meleset sama sekali. Artikel yang disediakan portal Iluminasi akan menyenaraikan 10 jenama luar yang ramai sangka ia adalah jenama Malaysia.

Jenama-jenama dalam senarai ini kebanyakannya telah lama diasaskan, pada ketika negara kita masih pun belum merdeka.

1) Ayam Brand

Nama pun ayam, mestilah produk Malaysia, betul tak? Jawapannya salah. Sejarah Ayam Brand berbalik kepada seorang lelaki Perancis yang bernama Alfred Clouet. Dia mengasaskan produk ini di Singapura pada tahun 1892, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Malaya di bawah pemerintahan British.

Bisnes Ayam Brand pada ketika itu lebih kepada membekalkan makanan untuk pekerja koloni, serta membekalkan bahan-bahan binaan. Produk makanannya pada ketika itu dilihat sebagai produk mewah kerana makanan tin masih belum mampu dibeli rakyat.

Kini, jenama Ayam Brand dimiliki oleh Denis Frerez Group, dan mereka menjadi pembekal utama makanan tin di sekitar Asia. Ayam Brand kini adalah produk Singapura.

2) Milo

Penulis berasa nostlagia sangat bila teringat sewaktu di sekolah rendah berebut-rebut dengan rakan sekolah untuk mendapatkan secawan air Milo dari lori berwarna hijau.

Milo pada asalnya diasaskan oleh Thomas Mayne, seorang ahli kimia industri pada tahun 1934. Beliau melancarkan produk tersebut di Sydney Royal Easter Show, dan mula menghasilkan Milo berskala besar di kilang yang terletak di Smithtown, New South Wales, Australia.

Nama Milo diambil dari seorang legenda atlit gusti Greek yang terkenal kerana kekuatan tenaga beliau. Atlit tersebut adalah Milo of Croton.

3) Nescafe

Sedihnya, kopi kegemaran kita ini bukanlah produk Malaysia. Nescafe dimiliki oleh sebuah syarikat Switzerland, iaitu Nestlé.

Nestlé diasaskan oleh Henri Nestlé sekitar tahun 1866. Produk pertama beliau adalah makanan bayi berasaskan susu.  Pada tahun 1867, Daniel Peter, seorang pakar coklat, mula menyempurnakan ciptaan Nestlé melalui proses pembuatan susu coklat.

Nestlé turut memainkan peranan penting dalam mencipta proses tersebut. Henri Nestlé bersara pada 1875 namun syarikat tersebut yang di bawah pengurusan dan pemilikan baru mengekalkan nama Nestlé sebagai nama syarikat.

4) Maggi

Maggi sebenarnya adalah sebuah jenama, bukannya sebuah produk sahaja. Penulis sendiri masih tidak percaya yang Maggi ini bukan produk tempatan.

Maggi diasaskan oleh Julius Maggi pada tahun 1884 di Switzerland, setelah beliau mengambil alih kilang ayahnya.

Produk Maggi dengan cepat mendapat tempat di hati rakyat penduduk pada ketika itu, dan beliau menjadi pengasas kepada industri pembuatan makanan.

5) Teh Lipton

Lipton merupakan jenama yang dikaitkan dengan teh, dan ramai di antara kita tersalah anggap bahawa Lipton berasal dari Cameron Highland.

Tidak! Lipton sebenarnya diasaskan di Scotland pada tahun 1871, dan ia bermula sebagai rangkaian supermarket dan bukannya pengeluar teh.

Pengasasnya, Thomas Lipton hanya mula menceburi bidang teh ini 9 tahun selepas mengasaskan Lipton, dengan membeli sebuah taman teh di Sri Lanka. Lipton kini dimiliki oleh sebuah syarikat Belanda-British, iaitu Unilever.

Baca juga: Raih hampir 2 juta tontonan, netizen kagum kegigihan pemuda jual burger ‘home-made’ sampai sahur