Siapa sangka, Malaysia akhirnya berjaya menuai hasil bawang merah tempatan melibatkan berat sekitar 2.3 tan di Kampung Ladang Bikam, Tanjung Malim, Perak.
Perak difahamkan menjadi negeri pertama yang menuai hasil bawang varian BAW-1 tersebut di mana ia berada di dalam tempoh fasa satu di kawasan seluas 0.6 hektar.
Menjadi pencetus pengeluaran bawang tempatan, khabar baik ini dikongsi Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Menurut Arthur Joseph, projek dengan kerjasama pihak Jabatan Pertanian Negeri itu akan dilaksana secara tiga fasa dengan hasil sekitar empat tan metrik setiap hektar.
Perkara ini dikongsikan Ahli Parlimen Pensiagan itu dalam Majlis Tuaian Hasil Projek Rintis Tanaman Bawang Secara Besar-Besaran di Kampung Ladang Bikam, lapor Berita Harian.
“Bagi penuaian pertama, ia membabitkan fasa satu di kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan. Selepas ini, penuaian akan bersambung kepada fasa dua dan fasa tiga.
“Saya yakin projek rintis ini mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bawang import,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Arthur Joseph menjelaskan bahawa semua hasil itu bakal dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di lokasi yang memiliki permintaan tinggi.
Mengulas lanjut, Arthur Joseph memberitahu Perak adalah antara enam negeri yang akan menjadi hab pengeluaran bawang tempatan BAW-1 untuk kegunaan domestik.
Pihaknya optimis rancangan ini dapat direalisasikan memandangkan kerajaan negeri turut bekerjasama menyokong usaha berkenaan untuk diperluaskan di seluruh Perak.
“Pihak kementerian sudah mengenal pasti enam negeri iaitu Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan. Semua ini adalah perancangan untuk mencapai kadar sara diri (SSL) bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memuat naik hantaran di laman Facebook mengenai penghasilan bawang tempatan melibatkan BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.
Katanya, pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan benih tiga varian baharu membabitkan tanaman bawang merah tempatan.
Kejayaan projek yang telah dimulakan pada tahun lalu itu dijangka dapat memenuhi matlamat untuk mengurangkan import bawang merah negara sebanyak 30 peratus.
Bertepatan dengan kejayaan projek ini, Mohamad Sabu mengarahkan pihak MARDI untuk memulakan penanaman varian bawang merah tempatan ini secara berskala besar.
Baca juga: Setiap tahun buat muzik video penuh kontroversi, MCMC diminta ambil tindakan terhadap Aliff Syukri