Bila sudah masuk musim perayaan, maka pelajar universiti dan mereka yang bujang pastinya memilih untuk pulang ke kampung halaman menaiki bas.
Rata-ratanya bukanlah jarak dekat ditambah pula dengan kesesakan dan waktu lebih panjang untuk tiba ke destinasi.
Disebabkan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengingatkan kepada syarikat bas ekspres di negeri ini supaya menyediakan pemandu kedua.
Ini adalah untuk setiap perjalanan melebihi 300 kilometer (km) bagi menjamin keselamatan penumpang lapor Harian Metro.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, peraturan itu turut diwajibkan bagi tempoh perjalanan melebihi empat jam dalam memastikan pemandu mendapat rehat secukupnya.
Ia sekali gus akan mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya membabitkan kemalangan maut.
“Perjalanan jauh melebihi 300 km memerlukan pemandu kedua, tak boleh seorang (pemandu), tetapi banyak pengusaha syarikat bas yang gagal untuk menyediakannya.
“Alasan yang sering diberikan, pemandu kedua akan naik di terminal yang seterusnya untuk menggantikan pemandu pertama.
“Bagaimanapun peraturan menetapkan bahawa dua pemandu diperlukan semasa memulakan perjalanan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tambahnya, kegagalan menyediakan pemandu kedua adalah satu kesalahan dan mana-mana syarikat yang didapati ingkar, tindakan akan diambil dengan melarang mereka daripada memulakan perjalanan sehingga peraturan itu dipatuhi.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh operasi bermula 1 April hingga semalam, sebanyak 121 bas telah diperiksa dengan lima diambil tindakan kerana gagal menyediakan pemandu kedua.