Ada berita gembira buat penjawat awam, Anwar bakal umum kenaikan gaji sebelum hujung tahun ini

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat kos sara hidup dan gaji rakyat Malaysia ini sebenarnya tidak cukup apatah lagi dengan gaji permulaan yang rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bakal mengumumkan berita baik berhubung kenaikan gaji penjawat awam.

Menurut Kosmo! Online, perkara tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

Tambahnya, kenaikan itu wajar dilaksanakan susulan struktur gaji penjawat awam tidak disemak sejak sekian lama.

“Perkara ini diteliti kerana kita mendengar keluhan daripada orang ramai khususnya penjawat awam.

“Alhamdulillah kita (barisan jemaah menteri) ada kesepakatan dalam hal ini dan Insya-Allah berita baik ini akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, selewat-lewatnya pada belanjawan tahun ini.

“Saya tidak akan bagitau bila saya akan umum. Oleh itu dengar sampai habis (pembentangan belanjawan) itu nanti,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan keputusan itu dibuat walaupun sedar kerajaan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan defisit perbelanjaan negara.

“Kalau ada kepincangan, itu bukan salah golongan pekerja tetapi pengurusan kerajaan.

“Sementara kita betulkan salah guna kuasa golongan pemimpin, kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam ini,” ujarnya.

Baca juga: Polis terima dua laporan, rupanya ini punca Dr Akmal ditahan di IPD Kota Kinabalu