Tak sangka ini jumlah ‘income’ Azlee Senario dari TikTok, lepas bayar rumah dan kereta!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak veteran, Azlee Senario tidak menyangka bakal menerima pendapatan yang lumayan dengan melakukan siaran langsung di platform media sosial iaitu TikTok.

Terharu dengan sokongan orang ramai, anggota kumpulan Senario itu pernah meraih ‘gift’ atau hadiah berjumlah RM8,500 di dalam tempoh lima minit bersiaran langsung.

Menurut pemilik nama sebenar Azlee Jaafar itu, platform tersebut diperkenalkan oleh sahabatnya ketika menjadi juri di sebuah program televisyen, lapor Gempak.com.

Tidak hanya memberi cadangan untuk membuat siaran langsung di TikTok, rakannya itu turut membantu Azlee dengan menciptakan akaun miliknya di platform tersebut.

“Sahabat saya itu yang ciptakan akaun. Saya tak sangka platform itu boleh menjana pendapatan. Saya semakin terkejut sebab orang boleh berikan ‘gift’ sebanyak itu.

“Ada satu hari itu, saya buat siaran langsung selama lima minit sahaja namun telah meraih pendapatan sebanyak RM8,500,” kata Azlee memetik laporan Gempak.com.

Dedah Azlee lagi, dirinya kini mampu memperoleh pendapatan mencecah RM15,000 sebulan hanya daripada kegiatannya bersiaran langsung di platform media sosial itu.

Menganggap ‘hadiah’ yang diperolehinya itu sebagai pendapatan bulanan, pelakon komedi tersebut hanya menyasarkan penghasilan sebanyak RM500 sehari sahaja.

“Dalam sebulan saya boleh dapat RM15,000. Saya akan mengeluarkannya di setiap hujung bulan. Jadi, saya sudah menganggapnya (gift) sebagai pendapatan bulanan.

“Alhamdulillah setakat ini duit kereta dan rumah, TikTok yang bayar,” jelasnya yang terharu kerana peminat masih menyayangi dan menghargai jasanya sebagai penghibur.

Azlee turut menyarankan selebriti senior lain untuk memanfaatkan platform tersebut bagi meraih pendapatan sampingan jika lagi menerima tawaran di masa hadapan.

“Lihat sahaja Datuk Red. Dia pernah susah sampai terduduk. Tetapi disebabkan dia buang rasa malu dan menggunakan platform yang betul, masyarakat jadi sayang pada dia.

“Kita bukan minta sedekah, tetapi orang yang memberi. Itulah hadiah daripada orang ramai.” Ulasnya menyakinkan artis lama untuk membuang rasa malu demi masa depan mereka.

Baca juga: Cium dahi isteri sebelum naik pentas, Beto akui terbiasa, tiada niat menunjuk kemesraan