Penjelasan syarikat pengeluar kasut, Vern’s Holding Sdn Bhd telah berjaya merungkai salah faham mengenai logo produk keluarannya yang dikatakan mirip kalimah Allah.
Sehubungan dengan itu, Ketua Pemuda Umno iaitu Dr Muhamad Akmal Saleh tampil memberi maklum balas dengan mengucapkan terima kasih kepada syarikat tersebut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, penjelasan bahawa logo tersebut bukan kalimah Allah sekali gus telah memberi kelegaan kepada umat Islam.
Berdasarkan hantaran di akaun Facebook miliknya, Akmal juga menghargai tindakan syarikat terbabit yang memutuskan untuk menghentikan pengeluaran kasut tersebut.
“Alhamdulillah, penjelasan dari syarikat Vern’s telah diberikan. Salah faham telah terungkai bahawa ia bukanlah kalimah Allah, tetapi ia adalah logo kasut bertumit tinggi.
“Syarikat juga telah menghentikan pengeluaran kasut ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat atas penjelasan yang memberikan kelegaan kepada semua umat Islam,” katanya.
Terdahulu, tuduhan mengenai logo di tapak kasut yang didakwa menyerupai kalimah Allah itu awalnya dibangkitkan di platform media sosial TikTok sekitar 23 Mac lalu.
Isu tersebut bagaimanapun hanya mula menimbulkan kemarahan dan gerakan boikot apabila hantaran mengenainya dimuat naik semula oleh satu pasangan di Facebook.
Akmal yang pernah melancarkan gerakan boikot terhadap kedai serbaneka, KK Mart berhubung penjualan stoking kalimah Allah turut mengulas isu tersebut, sebelum ini.
Meskipun merasa marah, namun wakil rakyat berkenaan membuat keputusan untuk melakukan semakan terlebih dahulu bagi memperoleh maklumat lanjut mengenainya.
“Saya terbaca satu hantaran yang memaklumkan ia adalah logo seperti kasut tumit tinggi dengan talinya sekali. Begitu juga dari pandangan mata saya. Ada logiknya.
“Tetapi apa-apa pun, kita mendesak penjelasan segera daripada Vern’s berkenaan isu ini,” katanya menerusi hantaran di platfrom sama sebelum penjelasan dikeluarkan syarikat terbabit.
Dalam penjelasan itu, pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd tampil memohon maaf jika logo mereka yang disalah tafsir telah menyinggung perasaan umat Islam di Malaysia.
Jelasnya, mereka langsung tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Logo itu difahamkan diilhamkan 100 peratus dari bayangan garisan tali bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi seperti yang tertera pada gambar dilampirkan.
Namun pihaknya mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo terbabit hingga mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Oleh yang demikian, mereka bertindak segera dengan menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli produk tersebut.
Baca juga: Jumpa lombong emas depan rumah, boleh ke tuan tanah sorok dari kerajaan? Ini jawapan paling logik