Siapa sangka, seorang warga emas berjaya meraih pendapatan mencecah RM6,000 sebulan dengan hanya bermain permainan video ataupun ‘video games’.
Warga emas berusia 64 tahun yang dikenali sebagai Radhuan Othman itu mengakui mula bermain permainan dalam talian iaitu PUBG Mobile semenjak enam tahun lalu.
Namun Radhuan hanya bergiat aktif bermain sambil melakukan sesi siaran langsung di media sosial TikTok sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sesi tersebut telah menimbulkan idea kepada datuk yang mempunyai enam cucu itu untuk menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan tambahan, lapor Harian Metro.
“Sebelum ini saya meminati bidang pertukangan dan mula beralih kepada permainan video sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Saya memang berminat dengan teknologi baharu.
“Tetapi, mula mencuba dan serius bermain game semasa PKP. Dalam masa sebulan, saya berjaya menghasilkan sehingga RM6,000 hasil daripada siaran langsung dan dari situ, saya mula naik taraf komputer.
“Walaupun dianggap sebagai hobi namun saya mendapat pendapatan tambahan. Jadi bagi saya ia sesuatu yang berfaedah,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Warga emas yang mesra disapa Pak Dhuan itu mendedahkan, masa diluangkannya untuk bermain adalah minimum tiga jam atau maksimum enam jam sehari sahaja.
Meskipun mengakui dirinya adalah ‘pemain tegar’, namun Pak Dhuan tidak sampai ke tahap ketagih memandangkan niatnya hanya mahu mendapatkan rezeki yang halal.
“Biasanya saya akan mula bermain di antara jam 9 malam sehinggalah 5 pagi. Pada waktu siang pula saya akan luangkan masa dengan keluarga,” jelas Pak Dhuan lagi.
Selain dapat menghibur penonton, penglibatannya dalam permainan video juga berbaloi apabila diberi anugerah Top 10 Ellando Agency TikTok Live Performance Appreciation Awards 22/23.
Baca juga: Dekat sosial media bukan main lantang bersuara, Gigi Hadid ‘kantoi’ tayang produk diboikot