Anak bulan Syawal masih tak kelihatan, Arab Saudi sambut Hari Raya Aidilfitri esok

Oleh WAN SITI AMINAH

Umat Islam di Arab Saudi bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 10 April sekali gus menandakan berakhirnya bulan Ramadan, hari ini buat rakyat negara itu.

Perkara itu diumumkan Mahkamah Agung Arab Saudi berikutan anak bulan Syawal tidak kelihatan sepanjang tempoh cerapan, petang semalam iaitu pada 29 Ramadan.

Hal ini bermakna, seluruh umat Islam di Arab Saudi dan juga negara jirannya akan menjalankan ibadah puasa satu hari lagi bagi melengkapkan 30 hari sambutan bulan Ramadan.

Oleh yang demikian, Solat sunat Aidilfitri di Arab Saudi bakal diadakan esok sejurus selepas matahari terbit, lapor News 18 serta agensi berita Arab termasuklah Al Jazeera.

Mahkamah Agung Arab Saudi pada Ahad lalu menggesa rakyatnya di seluruh negara bagi melihat hilal Syawal pada petang Isnin, 29 Ramadan bersamaan dengan 8 April.

Dalam pengumuman itu, individu yang melihat hilal Syawal dengan mata kasar atau melalui teleskop turut digesa melaporkan penemuan tersebut di mahkamah terdekat.

Untuk rekod, bulan Ramadan bermula di kebanyakan negara Arab dan juga negara lain pada 11 Mac lalu.

Sementara itu, tarikh untuk melihat anak bulan Syawal di Malaysia pula telah ditetapkan pada petang Selasa iaitu hari ini di 29 lokasi di seluruh negara.

Baca juga: “Masa aku bunting pelamin, itulah kali pertama suami naik tangan, bila aku ugut nak report polis baru berhenti”