Juadah Hari Raya Aidilfitri seperti rendang perlulah disimpan dengan sangat berhati-hati sekiranya tidak mahu menjejaskan kesihatan anda.
Hal ini kerana, rendang hanya selamat dimakan dalam tempoh empat jam sahaja jika disimpan di dalam suhu bilik sebelum bakteria pada makanan itu mula menjadi aktif.
Sehubungan dengan itu, pihak Public Health Malaysia (PHM) tampil memberi amaran kepada orang ramai bersama tips supaya juadah perayaan tersebut tahan lama.
PHM dalam satu hantaran di laman Facebook memberitahu, juadah tersebut perlu dimasak hingga kering berikutan kelembapan adalah sumber pertumbuhan bakteria.
Bagi memastikan bakteria tidak tumbuh, rendang yang telah dimasak hingga kering itu bolehlah disimpan di dalam bekas kecil sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Kemudian apabila tiba waktu juadah dihidangkan, rendang boleh dinyahbeku semula di dalam ketuhar gelombang mikro atau dibiarkan di suhu bilik sebelum dipanaskan.
“Panaskan di dalam kuali dengan api perlahan. Pastikan pemanasan dibuat dengan sekata. Pemanasan semula perlu dilakukan dalam masa dua jam selepas dikeluarkan.
“Hidang dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Jangan pula hidang dalam bekas besar dan ceduk dari bekas tersebut,” kongsi PHM menerusi akaun Facebook rasminya.
Jelas PHM lagi, rendang perlulah disimpan di dalam peti sejuk beku bukanlah peti ais biasa bagi memastikan juadah tersebut dapat bertahan dalam tempoh tiga bulan.
“Jika disimpan di dalam peti sejuk, rendang dapat bertahan dalam tempoh tiga hari. Manakala rendang yang disimpan dalam peti beku pula bertahan selama tiga bulan.” Jelasnya.
Baca juga: Bertahun guna Vellfire, tapi lepas buat kira-kira pemuda ini saran lebih baik sewa dari beli