Usahawan sensasi, Datuk Red diterbangkan ke Kuching, Sarawak untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga isteri keduanya iaitu penyanyi, Adira Suhaimi.
Sekian lama tidak merayakan hari pertama Aidilfitri bersama, pemilik nama sebenar Datuk Seri Adenan Abu itu tidak sabar menikmati detik indah yang bakal dijalaninya.
Datuk Red juga akan memberikan perhatian penuh terutamanya kepada anak-anak kerana khuatir ia akan menjadi Aidilfitri yang terakhir mereka sebagai satu keluarga.
Ahli perniagaan yang sudah diisytiharkan muflis itu menaiki penerbangan ke Kuching, semalam dan dijangkakan menginap sehingga hari raya kedua, lapor Harian Metro.
“Adira sudah belikan tiket penerbangan untuk saya ke Kuching. Abang dan kakaknya ada di sana. Tahun ini mereka buat sedikit kelainan iaitu emak mereka pun datang beraya di Kuching.
“Saya akan berada di sana sehingga hari raya kedua sebab Adira akan mengerjakan umrah, Ahad ini. Semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya tidak beraya dengan Adira.
“Sebabnya kalau tak pulang ke kampung, dia suruh saya meraikan hari raya pertama bersama isteri pertama. Itu yang saya tak sabar. Susah nak cakap, mungkin yang terakhir, saya pun tak tahu kan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Pada masa yang sama, Datuk Red turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Adira terutamanya ibu mentua kerana sentiasa sudi memberi sokongan kepadanya.
Usahawan berusia 46 tahun itu juga terharu dengan sokongan daripada orang ramai yang diraih selepas melakukan pendedahan mengenai kesulitan hidup dihadapinya.
“Saya akan ‘all out’ luang masa dengan anak-anak terutamanya. Lagipun keluarga Adira memang sangat memberi sokongan terutamanya ibu mentua. Mereka memang menunggu kehadiran saya.
“Aidilfitri tahun ini membuat saya rasa seperti hidup semula. Selepas macam-macam dugaan dan kehidupan jadi suram. Memang saya cukup pakai tetapi tiadalah beraya mewah-mewah. Namun ini semangat saya melangkah ke fasa seterusnya,” ulasnya.
Dengan modal yang berjaya diperolehi sejak kisahnya menjadi tular, Datuk Red akan memulakan perniagaan baharu iaitu penjualan koleksi pakaian selepas Aidilfiti nanti.
“Macam mana pun, saya kena mulakan perniagaan di atas usaha sendiri. Tidaklah banyak, tetapi cukuplah nak dimulakan selepas Aidilfitri nanti. Saya akan mulakan koleksi pakaian sebagai perniagaan sendiri.” Jelasnya.
Terdahulu, Datuk Red kembali menjadi sorotan ramai selepas kedua-dua isterinya iaitu Adira dan Datin Seri Sharifah Norshafila memfailkan penceraian pada masa yang sama.
Walaupun berada di ambang penceraian, namun hubungan mereka tetap baik-baik sahaja malah kedua-dua isteri Datuk Red turut membantu mempromosikan kuih raya jualan usahawan terbabit di laman TikTok.
Sekadar info, Datuk Red dan Adira menikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan dengan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob yang kini berusia dua tahun.
Baca juga: Dekat sosial media bukan main lantang bersuara, Gigi Hadid ‘kantoi’ tayang produk diboikot