Mahu pesakit selesa, Anwar maklum kerajaan akan segerakan kemudahan dan kelengkapan di wad kelas tiga HKL

Oleh MAISARAH AISYA

Masih banyak yang perlu dilakukan kerajaan terutama melibatkan fasiliti dan kelengkapan di hospital kerajaan.

Umum tahu bayaran di hospital kerajaan adalah lebih murah berbanding swasta dan itulah harga di bayar untuk tahap keselesaan pesakit.

Disebabkan itu, kerajaan bakal menyegerakan penyediaan segala kemudahan dan kelengkapan yang diperlukan di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Kosmo! Online, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut telah dibawa ke pengetahuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly.

Perkara ini dimaklumkan supaya isu tersebut boleh dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga bakal melakukan kajian menyeluruh untuk memastikan tiada lagi kerugian berlaku disebabkan pembaziran ubat-ubatan.

“Seperti yang kita dapat lihat sendiri, wad kelas tiga selalunya panas dan sesak. Menteri Kesihatan (Dr Dzulkefly) bakal bawa perkara ini ke pengetahuan Jemaah Menteri supaya boleh disegerakan apa yang perlu.

“Kita akan lihat sama ada ubat-ubatan digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan sebagainya serta apakah keutamannya. Itu kita perlu beri tumpuan kerana HKL perlukan jumlah yang lebih besar.

“Tetapi kita juga perlu fokus pada klinik di Kapit, Manek Urai misalnya, jadi perkara ini dilihat secara keseluruhan oleh kementerian dan kita buat keputusan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada HKL yang telah mendapat pengiktirafan dunia atas kecemerlangan prestasi hospital berkenaan.

Anwar turut mengambil kesempatan untuk menziarahi pesakit-pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain staf dan kakitangan yang berkhidmat pada musim lebaran.

“Alhamdulillah, saya turut memberi sumbangan kepada pesakit di wad kelas tiga dan kakitangan HKL yang bertugas.

“Saya turut manfaatkan kesempatan ini untuk meninjau keadaan infrastruktur dan fasiliti di HKL dan memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan memberi perhatian utama dalam menambahbaik kemudahan yang mendesak dalam kadar segera.

“Penghargaan setingginya kepada seluruh warga HKL dan petugas KKM atas pengorbanan dan sumbangan berterusan mereka demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Baca juga: Respon kasar tanda hati lemah, pakar motivasi ajar cara ‘smash’ soalan mak cik bawang