Malang tidak berbau, seorang lelaki dilaporkan cedera parah akibat dipijak gajah di Batu 11, dekat Tugu Peringatan, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Tragedi tersebut difahamkan berlaku sekitar jam 7 malam ketika mangsa yang mengalami cirit-birit itu berada di kawasan berhampiran dengan sungai untuk membuang air.
Mengesahkan kejadian, Pengarah PERHILITAN Perak iaitu Yusoff Shariff turut memaklumkan bahawa mangsa mengalami kecederaan parah termasuklah patah tulang rusuk.
Lebih memburukkan keadaan, tulang kaki kiri milik lelaki yang berasal daripada Felda Bersia itu turut patah selain berlakunya pendarahan di kepalanya, lapor Berita Harian.
Menurut Yusoff, terdapat 12 orang lain berada di lokasi kejadian namun mangsa sahaja yang dipijak oleh gajah ekoran membuat keputusan untuk pergi ke sungai.
“Mangsa dikatakan mengalami cirit-birit dan pergi ke kawasan sungai, namun ketika (kejadian berlaku) itu sudah senja iaitu sekitar jam 7 malam.
“Berdasarkan maklumat diterima, ketika kejadian terdapat 12 orang berhampiran tempat kejadian tetapi cuma mangsa seorang sahaja yang kena (dipijak gajah), disebabkan dia sahaja yang ke sungai.” Katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Yusoff memberitahu bahawa mangsa yang dipijak oleh binatang buas itu segera dirujukkan ke Hospital Gerik susulan didapati mengalami kecederaan parah.
Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.
Baca juga: Kerana insiden huru hara ini, beg Ikea yang asalnya berwarna kuning ditukar kepada biru