Produk yang disangka ‘alas kaki’ bergambar Kaabah dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Johor sebenarnya merupakan sejadah mini.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak pasar raya AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) memaklumkan, kekeliruan timbul ekoran sejadah tersebut dilabel secara tidak tepat.
Pihak AEON BiG bagaimanapun segera memperbetulkan kesilapan label ‘alas pintu’ tersebut dengan serta-merta di dalam sistem pengurusan dan juga deskripsi barangan.
Menurutnya, insiden tersebut dimaklumkan kepada pihaknya pada Selasa lalu dan telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).
AEON BiG turut menjelaskan bahawa sejadah mini itu dibekalkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki bumiputera iaitu A&R Fashion Collection (A&R).
“Pembekal merupakan perusahaan PKS, milik Bumiputera Islam 100 peratus yang membekalkan pakaian Muslimah patuh syariah seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin, songkok, serta produk lain seperti sejadah, permaidani dan tikar.
“A&R mengesahkan bahawa produk berkenaan sememangnya sejadah mini di mana coraknya dalam format menegak yang merupakan amalan biasa. Bagaimanapun selaras dengan amalan AEON BiG untuk pembekal PKS, A&R menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk lain syarikat tersebut.
“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi lantas menyebabkan kekeliruan. Perkara ini telah diperbetulkan serta-merta dan deskripsi barangan tersebut sebagai ‘Sejadah’ telah pun dicerminkan.
Selain menjadi pembekal AEON BiG sejak tahun 2015, syarikat yang ditubuhkan pada 2007 itu turut mengedarkan produk kepada peruncit lain sambil mengendalikan kedai mereka sendiri.
Terdahulu, JAIJ dilaporkan merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya sehari sebelum Aidilfitri susulan aduan selain tular di media sosial.
Berhubung rampasan tersebut, AEON BiG telah memberi kerjasama kepada JAIJ dan berharap semua pihak berhenti membuat spekulasi yang menjejaskan keharmonian.
“Pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap kenyataan bersama ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini. Kami berharap spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum akan dihentikan.” Katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook itu.
Baca juga: Pakar kewangan dedah ramai nak keluar KWSP sebab takut umur tak panjang