Banyak pemain bola mula berang dengan isu tungakkan gaji daripada pihak pengurusan apatah lagi ada yang sampai berbulan tidak menerima wang atas usaha mereka.
Mengakui ada masalah, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman terkejut dan mendakwa ada pihak cuba mengajak pemain lain boikot pemberian RM1,000 bagi kegunaan hari raya.
Menerusi TikTok, Norizam atau Zamsaham menjelaskan bayaran tersebut adalah bukti dia komited untuk selesaikan tungakkan gaji para pemain.
Pada masa sama, beliau dikatakan sanggup mengeluarkan RM20,000 untuk melakukan pembayaran kepada 20 pemain.
Malah beliau kini dalam usaha bagi menyelesaikan tunggakan tiga bulan dihadapi pasukan Kelantan FC.
Duit pendahuluan ditolak pemain
Bagaimanapun ada segelintir pihak yang mahukan gaji penuh dan bukan sekadar RM1,000 setiap seorang.
Ini menyebabkan beliau merasa kecewa dan menganggap niat baiknya disalah ertikan oleh sesetengah pihak.
“Berkenaan RM20,000 pembayaran yang saya berikan kepada pemain Kelantan FC, Alhamdulillah dengan jumlah tersebut kita berikan kepada pengurusan dan pemain semua RM1,000 seorang.
“Awal pagi hari raya lagi saya dah maklumkan kepada pemain, cumanya saya terkejut apabila ada yang komen untuk memboikot ramai-ramai dan tidak terima RM1,000 yang saya berikan.
“Maksudnya jom boikot ramai-ramai, tak payah ambil pun duit itu. Saya terkejut, kalau individu tersebut duit banyak mungkin awak tak payahlah ambil (RM1,000),” katanya dalam video tersebut.
Bagi Zamsaham, nilai itu mungkin tidak nampak besar buat pemain namun bukan senang untuknya mengeluarkan wang pendahuluan sebanyak RM20k.
“Akan tetapi, bagi yang memerlukan, RM1,000 pun besar sebenarnya. Macam sayalah, saya dapat dahulukan RM20,000 pun sebenarnya besar bagi saya. Sebab itulah kemampuan yang saya ada untuk memberikan RM20,000 dahulu.
“Tetapi sayangnya, ada yang nak penuh gaji tiga bulan. Saya faham kalian nak gaji penuh, tetapi saya berikan dahulu RM1,000 sebagai pendahuluan, menunjukkan saya ada komitmen dan tidak lari untuk bayar baki gaji,” katanya.
Namun menurut Harian Metro, bekas pemain Kelantan FC, Khairul Helmi Johari tampil menafikan dakwaan pemilik Kelantan FC.
Tambah Khairul Helmi, dia menjelaskan bahawa Zamsaham masih belum melunaskan tunggakan gaji tiga bulan secara beransur-ansur kepada pemain mereka.
Jelasnya, untuk bayaran RM1,000 seperti yang dikatakan oleh Zamsaham itu tidak benar sepenuhnya kerana hanya ada segelintir pemain saja yang dapat.
Baca juga: Pakar kewangan dedah ramai nak keluar KWSP sebab takut umur tak panjang