Seorang lelaki terkejut mendapati harga dua bungkus nasi lemak ayam goreng yang dipesannya ketika makan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mencecah RM63.10.
Bukan itu sahaja, menurut hantaran @morasaki12 di aplikasi X, dia juga memesan dua cawan kopi yang ternyata harganya juga cekik darah iaitu RM29.10.
Jumlah keseluruhan yang perlu dibayarnya bersama cukai adalah sebanyak RM106.95.
“Di KLIA tak ada sesiapa pantau harga ke? Dua bungkus nasi lemak sahaja dah berharga RM63.10.
“Adakah ini harga di lapangan terbang? Dalam Nasi lemak tersebut ada ayam koreng, ikan bilis dan sesudu sambal sahaja,” katanya.
Tambah @morasaki12, dia tidak kisah jika perlu membayar harga premium sekiranya makanan tersebut nampak menyelerakan.
“Kalau harga mahal tapi makanan nampak premium saya tak kisah. Tapi lihatlah sendiri, berbaloikah dengan harga RM63.10?,” katanya.
Seperti yang dijangka, perkongsian lelaki itu mengundang perbincangan ramai yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kualiti makanan yang dihidangkan.
Ia sama sekali tidak setimpal dengan harga yang dikenakan biarpun ada sesetengah mendakwa harga seperti itu merupakan satu kebiasaan di lapangan terbang
“Kalau dekat Lapangan Terbang Changi tak jumpa presentation makanan macam ini. Harga patut setanding dengan rupa makanan. Harga T20 tapi rupa makanan macam pasar malam. Pasar malam pun dah naik taraf pembungkusan depa. Jatuh kan imej KLIA je,” komen Arman.
“Ini bukan soal harga je tapi kualiti nasi lemak tu macam hampeh. Bayangkan nasi lemak modal macam ini. Guna bahan tak ada kualiti lepas itu jual RM31.50. Kau rasa?,” kata Bakri.
“Mahalnya, patutnya maksimum RM7 sahaja,” kata individu lain pula.
Bagaimanapun ada yang bertanya sama ada individu itu semak harga atau pun tidak sebelum membeli nasi lemak tersebut.
“Bang, sebelum beli tak tengok menu ke? Kalau tak tengok, ia adalah salah anda. Anda yang fikir harga dia murah. Kalau anda dah semak harga, makan je lah. Bising apa,” tegur Naaim pula.
Sehingga kini perkongsian itu mendapat lebih 5,200 tanda suka dengan lebih 2,500 orang mengulang siar ciapan tersebut.
Baca juga: Watie nak letak RM5k dalam ‘frame’, jadikan kenangan duit raya pertama daripada suami