Kerajaan akan pastikan keselamatan jemaah haji dan umrah terjamin, minta rakyat jangan bimbang

Oleh MAISARAH AISYA

Umum mengetahui Iran membuat serangan balas terhadap Israel pada Sabtu lalu yang menimbulkan kerisauan ramai pihak.

Terutama jemaah Malaysia yang sedang melakukan umrah dan bakal melaksanakan ibadah haji lagi beberapa bulan.

Menurut Sinar Harian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya bersama agensi kerajaan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Ini adalah bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin susulan serangan balas Iran terhadap Israel pada Sabtu.

Menurutnya, pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memantau situasi terkini di Timur Tengah.

“Berhubung keselamatan para jemaah haji dan umrah dari Malaysia susulan ketegangan yang berlaku, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama rapat dengan agensi Kerajaan seperti Wisma Putra, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Ini termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan perkembangan semasa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tabung Haji tetap teruskan persiapan Musim Haji 2024

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa setakat ini Tabung Haji masih meneruskan persiapan bagi Musim Haji 2024 seperti yang dirancang.

“Semua pihak adalah dimohon untuk terus bertenang serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya.

Iran dilaporkan telah melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu balistik ke Israel pada Sabtu dan serangan itu dikatakan masih berterusan hingga kini.

Menurut wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangannya ke atas Israel sebagai mengikut lunas undang-undang.

Baca juga: Gelar menteri bodoh, Akmal digesa henti kata-mengata dan mula tunjuk kematangan