Terperangkap lebih 180 hari, aktivis kemanusiaan dedah PMX jadi watak utama dalam ‘Misi Gila’

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk rakyat Malaysia yang terperangkap di Palestin untuk menyelamatkan diri, ada banyak prosedur dan memerlukan wang yang banyak.

Buat Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dia mendedahkan jalan cerita dalam ‘Misi Gila’.

Rupanya watak utama yang membantu aktivis kemanusiaan tersebut untuk menyelamatkan diri dan keluarga adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terperangkap selama 183 hari, Muhammad Nadir berkongsi bagaimana dia melihat ramai sahabat yang syahid, huru-hara semasa berpindah.

“183 hari yang panjang, kisah bermula saat Gaza sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri.

“Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby MAPIM diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

“Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.

“Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Akhirnya bantuan tiba

“Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik PMX, Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini.

“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan (Dr) Sani saja dibenarkan ke sana!

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” tambahnya.

Misi Gila

Rupanya secara senyap Anwar dikatakan sudah menghubungi pihak sana untuk membawa pulang mereka dengan cepat.

“Tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.

“Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.

“Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan.

“Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” katanya.

Hormat pendirian PMX

“Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin umat perlukan satu ketumbukan. Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.

“Tindakan PMX menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut di kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa.

“Semoga kita terus bersatu membela nasib saudara kita, menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata,” ujarnya.

Baca juga: Kerajaan akan pastikan keselamatan jemaah haji dan umrah terjamin, minta rakyat jangan bimbang