Pemimpin Pas merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membawa pulang ahli keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia iaitu Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman daripada bumi Palestin.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook, Ahmad Fadhli Shaari selaku Ketua Penerangan Pas berkata, peranan Anwar di dalam misi tersebut telah berjaya menyatukan sebuah keluarga yang sudah berpisah selama enam bulan.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengakui hubungan baik Perdana Menteri dengan Mesir menjadi salah satu asbab keluarga Nadir dapat dibawa keluar dengan selamat meskipun wilayah tersebut teruk diserang Israel.
“Terima kasih di atas kesungguhan dan usaha Perdana Menteri memastikan keluarga saudara Nadir Al-Nuri disatukan semula. Tentu sekali ia memerlukan perbincangan dan hubungan baik dengan Mesir bagi memastikan misi ini berjaya.
“Tahniah kepada saudara Nadir, tentunya ini hadiah Hari Raya yang paling berharga untuk beliau,” tulis pemimpin yang mesra disapa Ustaz Fadhli itu dalam perkongsian dimuat naiknya pada Selasa.
Sementara itu, Anwar dalam platform yang sama mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi di atas kerjasama diberi kerajaan pimpinannya hingga berjaya membawa keluarga Nadir keluar dari kawasan bergolak tersebut.
Terdahulu, Muhammad Nadir Al-Nuri mencuri perhatian ramai selepas membuat satu catatan bertajuk ‘183 Hari Yang Panjang’ di mana ia menceritakan peranan Anwar di dalam misi membawa keluarganya keluar daripada Gaza.
Menyifatkannya sebagai satu ‘misi gila’, Nadir memaklumkan dirinya dihubungi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) iaitu Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.
Namun alangkah terkejutnya Nadir apabila tiba di lokasi tersebut berikutan anaknya tiba-tiba keluar daripada sebuah kereta hitam sebelum menerpa untuk memeluknya.
“Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk mengeluarkan keluarga saat bedilan roket serta hentaman bom bertali-arus malah ketegangan di sempadan berlanjutan.
“Bagaimanapun, secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain. Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat.
“Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan. Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.” Tulis Nadir dalam perkongsiannya di laman Instagram dan Facebook.
Nadir pada Ahad lalu dilaporkan berkata, keluarganya terpaksa dibawa pulang ekoran menghadapi situasi getir selepas anaknya mengalami komplikasi pernafasan hingga terpaksa dikejarkan ke hospital beberapa kali di tengah malam.
Baca juga: Terperangkap lebih 180 hari, aktivis kemanusiaan dedah PMX jadi watak utama dalam ‘Misi Gila’