Bukan mudah untuk anak seni kekal relevan dalam industri hiburan tanah air terutama dalam bidang lakonan. Ada wajah yang komersial pun belum tentu boleh menjamin kerjaya mereka.
Itulah yang dilalui seorang pelakon drama dan filem, Sharisa Haris. Sharisa pernah muncul dalam drama popular Adellea Sofea yang dibintangi Mira Filzah sekitar tahun 2019.
Bagaimanapun kerjayanya dalam bidang lakonan tidak bertahan lama apabila dilaporkan dia kini terpaksa berniaga menjual sate demi mencari sesuap nasi, lapor OhBulan!.
Pun begitu, pelakon berusia 35 tahun itu berkata, dia bersyukur apabila pernah dicalonkan ‘Top 5’ di Anugerah Skrin 2014 ketika namanya masih aktif dalam dunia lakonan.
Ketika itu Telemovie Matahari Terbit Lagi telah dinobatkan sebagai drama televisyen terbaik di Anugerah Skrin 2014.
“Dulu aku seorang pelakon drama dan filem dalam industri Malaysia. Pernah juga menulis beberapa naskhah skrip drama dan travelogue.
“2019 adalah drama terakhir aku shoot (Adellea Sofea) arahan direktur yang sangat aku hormati dan kagumi iaitu abang Ejat atau Shahrulezad Mohameddin.
“Dulu mungkin orang kenal sebab berlakon tapi bukan popular sangat pun. Sekarang mesti orang tak kenal.
“Tetapi alhamdulillah pernah tercalon top 5 Pelakon Drama TV Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2014,” kongsi Sharisa menerusi hantaran video di TikTok miliknya.
Dalam pada itu, aktres tersebut berkata dia telah melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang cuci, pelayan dan kini peniaga sate untuk menampung kehidupan.
Dalam masa sama, Sharisa turut berpesan untuk percaya pada rezeki yang sudah diatur Ilahi.
“Perjalanan aku di dunia f&b (food and beverages) semakin serius pada tahun 2017.
“Bermula sebagai seorang cleaner, kemudian diberi peluang sebagai waiter dan kini diberi kepercayaan sebagai tukang bakar satay.
“Begitulah kisah akak sado (panggilan nama) dalam mencari sesuap nasi.
“Korang yang nampak video ini saya nak pesan, jangan curiga dengan rezeki setelah engkau berpenat lelah berusaha,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata wargamaya yang singgah ke ruangan balas berkata mereka masih ingat beberapa drama lakonan Shahrisa.
Malah, wargamaya mendoakan aktres itu berjaya dalam apa jua bidang yang dilakukan selain mendoakan perniagaannya.
Sekadar info, antara drama lakonan Sharisa adalah Monalisa, Aurora Aisyah, Adellea Sofea dan banyak lagi.
Baca juga: Risau guna air banyak nak basuh pinggan mangkuk lekat lemak sup? Ikuti tip ini, jimat tenaga!