“Bila aku suruh jimat mulalah mentua marah dan hina, bila ‘business’ jatuh yang dipaksa bayar tu suami aku”

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang nak menguruskan satu perniagaan apatah lagi dikala ekonomi yang tidak stabil ini.

Seharusnya belajar dahulu ilmu berniaga, bukan main masuk bidang tanpa tahu kelebihan dan kekurangan yang bakal dihadapi.

Seorang wanita, Mawar (bukan nama sebenar) tidak menyangka sikap acuh tak acuh keluarga mentua akan memberi kesan kepada dirinya dan suami.

Di bawah adalah luahan tersebut.

Aku penat sangat. Aku percaya pada rezeki. Aku tahu setiap benda Allah bagi tapi, kadang-kadang aku penat layan karenah mentua aku.

Dulu masa perniagaan mereka berkembang, mereka tak fikir untuk simpan duit, malah buat perniagaan baru.

Kalau satu jenis aku faham lagi, tapi ni sampai dua tiga jenis perniagaan yang makan modal besar.

Mereka ada beli kereta untuk perniagaan utama dan baru-baru ni mereka punya perniagaan semua ‘cukup-cukup’ katanya.

Sampai tertunggak berbulan-bulan bayaran dan sekarang insurans dan roadtax perlu di perbaharui.

Siapa yang kena bayar bila perniagaan mereka bermasalah? Semua tanggungan terhadap suami aku. Bukannya sedikit tapi hampir RM2k untuk bayaran insurans dan road tax.

Aku pun tak tahu nak buat bercerita dengan siapa. Aku tak mahu keluarga aku tahu tentang aib mentua aku.

Kawan-kawan? Sejak aku berkahwin memang susah cari kawan, lagi-lagi aku merantau jauh dari tempat kelahiran aku.

Aku penat pendam seorang dan aku penat dengan perangai suami yang asyik iyakan ipar aku.

Nasihat tak diendah

Dulu sebelum mereka tambah perniagaan, aku dah beritahu, jangan tambah sehingga dua perniagaan untuk pastikan ada wang simpanan.

Nasihat aku dipandang rendah, mereka lebih tahu tentang perniagaan katanya. Tapi akhirnya bila tiada untung, bagaimana nak sara diri?

Suami aku dipaksa bayar hutang mereka dengan alasan kerana jasa ibubapa yang membesarkan mereka.

Iya boleh, tapi fahamilah kewangan anak juga. Bukan sedikit hutang mereka yang kami bayarkan tapi banyak. Terlalu banyak. Aku pun dah tak tahu nak buat macam mana.

Suami pun tak sedar kemampuan diri

Suami aku dapat bonus nak bagi semua kepada ibu bapanya tapi aku kurang setuju.

Sebabnya selalu apabila ada duit lebih untuk mereka simpan, mereka akan gunakan untuk tambah lagi hutang atau buat kenduri

Konon mahu bersedekah atau buat kenduri kesyukuran. Lebih baik bayar hutang dari buat kenduri. Apabila diberi nasihat, mestilah aku kena marah atau maki.

Aku penat dengan keluarga melayu yang rajin buat bisnes ni. Aku penat sebab mereka buat perniagaan tanpa fikir panjang.

Pemikiran mereka hanyalah untung tapi aku yang cetek pemikiran ni pun tahu perniagaan memakan masa bertahun untuk betul-betul stabil.

Semua bebanan hutang jatuh kepada si anak yang kerja swasta ni.

Aku tak tahu sampai bila mereka akan jadi begini. Bila aku suruh minta bantuan, mereka tak mahu sebab bantuan banyak atas nama madani. Mereka tak minat.

Allahu, madani atau tidak, itulah kerajaan sekarang. Ambil sahajalah.

Aku tak boleh sebab gaji satu keluarga lebih tapi bulan-bulan bayar hutang mereka, memang tak cukup rasa gaji kami tapi kami tak layak untuk memohon.

Aku pening memikirkan cara untuk habiskan hutang mereka ni. Ya Allah. Aku penat. Aku penat dengan bebanan hutang orang lain ni.

Aku penat dengan sikap orang yang tak tahu malu bab hutang ni.

Aku sedih sebab aku tak sangka mentua dan ipar aku ni macam ni. Lepas beberapa tahun kahwin baru aku tahu mereka ni bagaimana. Aku rasa tertipu pun ya.

Alhamdulillah nafkah aku diberi tapi kita isteri mestilah rasa kesian kepada suami kita. Kita isteri mesti rasa nak memberi juga.

Harapan aku satu hari nanti kami akan bebas hutang. Kami pun ingin beli rumah sendiri. Kami pun ingin bercuti seperti orang lain.

Baca juga: Video Cik B ‘review’ bilik hotel di Makkah ditonton 300 ribu kali, harga satu bilik je cecah ratusan ribu ringgit