“Hafiz bukan fighter, apatah lagi gangster”, rakan terkejut suspek kes tembak KLIA 1 berubah sekelip mata

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki dipercayai rakan kepada suspek kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA), Hafizul Zarawi telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Hal ini ekoran tindakan lelaki terbabit memuat naik satu hantaran di akaun Facebook yang seakan membela Hafizul dengan meminta orang ramai agar tidak menjatuhkan hukum dan mencipta teori sendiri mengenai rakan karibnya itu.

Menerusi perkongsian tersebut, lelaki dikenali sebagai Shy Fue Din itu mengakui mula mengenali Hafizul sejak menceburi bidang perniagaan dengan membuka bengkel servis dan baik pulih kenderaan.

Hafizul yang ketika itu menawarkan perkhidmatan kereta sewa telah membantu Shy Fue Din dengan berkongsi ilmu mengenai perniagaan selain turut menggunakan khidmatnya untuk membaiki kenderaan syarikatnya.

“Hafiz bukan fighter, apatah lagi gangster. Mari aku ceritakan sedikit tentang Hafiz selaku orang yang selalu lepak dengan dia dahulu. Masa baru nak buka bengkel, aku pinjam kereta dia jenis Ford Ranger untuk pindah barang.

“Aku agak rapat dengan dia. Sama macam aku, dia juga menjalankan perniagaan kereta sewa. Cuma masa itu aku masih bilis, dia pula sudah stabil. Di awal pembukaan, dia selalu bantu perniagaan aku dengan menghantar kereta untuk servis di situ.

“Aku banyak belajar mengenai pasaran kereta sewa dari dia. Selalu juga pergi rumah dia. Cara buat penyata gaji untuk pekerja aku dahulu pun dia yang ajarkan. Pendek kata, aku banyak juga terhutang budi pada dia,” katanya.

Shy Fue Din bagaimanapun merasa hairan bagaimana seorang rakan yang ‘lemah-lembut’ itu boleh berubah secara drastik sehingga tergamak melakukan jenayah berat dan membahayakan nyawa isterinya sendiri.

Tidak mampu lagi membantu memandangkan jenayah yang dilakukan Hafizul itu sangat berat, ahli perniagaan berkenaan hanya berharap agar rakan karibnya menyedari bahawa dirinya telah melakukan kesilapan.

“Tak tahu apa yang menyebabkan dia jadi macam ini, sekarang. Dahulu dia berjuang mencari makan untuk anak isteri. Sekarang dia pula yang nak tamatkan nyawa isteri. Malah orang yang tak bersalah pula menjadi mangsa.

“Kegilaan apakah yang sudah berlaku kepada seseorang yang dahulunya bercakap lembut, suka menolong orang dan sayangkan keluarga. Semoga kau sedar Piz, apa yang kau sudah buat ini adalah kesalahan. 

“Aku nak tolong pun kali ini sudah tak mampu, berat sangat kes kau. Aku tahu ramai marah dengan kejadian ini. Aku berharap dan doakan pengawal peribadi itu cepat sembuh,” ulasnya.

Dalam hantaran yang sama, lelaki berkenaan menegaskan tujuan hantaran tersebut dimuat naik bukan untuk membela rakan baiknya sebaliknya hanya mahu memberi sudut pandang berbeza mengenai sikap suspek dahulu.

Meskipun memohon orang ramai tidak membuat andaian buruk mengenai Hafizul, Shy Fue Din bagaimanapun tetap berharap agar rakan karibnya itu dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahannya.

“Janganlah cakap macam semua benda kamu semua tahu. Pecah amanahlah, bawa lari duitlah. Mereka laki bini, tak semudah itu nak bercerai dan saman-menyaman sampai pasang pengawal peribadi kerana perkara duit.

“Kalau akulah, duit aku itu duit bini. Duit bini juga duit aku sebab kami mencarinya bersama-sama. Tak tahulah kalau orang lain. Banyak benda yang kita tak tahu di dalam kehidupan berumah tangga ini.” Akhirinya.

Terdahulu, pengunjung KLIA 1 telah dikejutkan dengan bunyi mercun sebelum seorang lelaki muncul dan melepaskan tembakan ke arah isterinya di balai ketibaan lapangan terbang itu, Ahad lalu.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 1.15 pagi itu, suspek dikenali sebagai Hafizul Zarawi melepaskan dua das tembakan sebelum satu daripadanya terkena pengawal peribadi isterinya, Ustazah Farah Cie.

Sekadar info, Hafizul memiliki tiga rekod jenayah lampau di mana dua daripadanya berkaitan dengan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah manakala satu lagi kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Dua rekod berhubung kes yang disiasat kerana ugutan jenayah itu dilaporkan oleh isteri suspek sendiri pada 2016 dan Disember tahun lalu sebelum akhirnya membuat keputusan untuk menggaji pengawal peribadi.

Baca juga: Pomen jalanan ulang-alik 250km setiap malam demi cari rezeki, berjaga sampai Subuh cari motor rosak